Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200 juta sebulan bagi meneruskan pemberian subsidi ke atas ayam dan telur bermula 1 Julai depan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Beliau berkata langkah itu mengambil kira bebanan rakyat yang masih memerlukan bantuan kerajaan.
“Kami tidak keberatan untuk menyambung terus pemberian subsidi itu demi memastikan rakyat dapat membeli ayam dan telur pada harga yang dikawal kerajaan.
“Lebih-lebih lagi rakyat masih berdepan dengan kos sara hidup ketika ini,” kata Datuk Seri Salahuddin Ayub, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) dan Menu Rahmah di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu.
Hadir sama timbalannya Fuziah Salleh dan Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail.
Menurut Salahuddin, keputusan itu sekali gus menafikan desas-desus mengatakan kerajaan mahu hentikan pemberian subsidi.
Ujarnya, kebiasaan bajet tahun lepas setiap kementerian akan berakhir pada 30 Jun ini.
Semalam laporan menyebut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju supaya pemberian subsidi serta kawalan harga ayam dan telur yang sepatutnya berakhir 30 Jun ini diteruskan selepas 1 Julai ini.
Perkara itu diumumkan dalam kenyataan bersama dikeluarkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan KPDN.
Sementara itu, mengulas mengenai program ReDi, Salahuddin berkata kerajaan menyasarkan hampir 30,000 peniaga di seluruh negara untuk berdaftar hingga hujung tahun ini.
“Setakat ini kita mempunyai 12,595 peniaga yang telah berdaftar dengan program ini dan kita harap setiap usahawan dapat ambil peluang ini untuk terus maju ke hadapan dan tidak ketinggalan dalam bidang perniagaan yang diceburi mereka.
“Program ini bertujuan memberi sokongan, sumber daya dan bantuan teknologi kepada para peniaga runcit dalam memasuki era digital yang semakin canggih dan kompleks,” katanya.
- Turut baca : Menteri : Harga minyak masak peket bersubsidi kekal
Leave a Reply