{VIDEO} Lelaki pukul anak teman wanita hingga lebam kedua mata diburu

Polis memburu seorang lelaki kerana disyaki memukul anak teman wanitanya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rajang, Setapak, dekat sini kelmarin hanya kerana kanak-kanak itu membuat bising.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.05 petang itu, polis menerima panggilan berhubung kes pen­deraan seorang kanak-kanak pe­rempuan warga tempatan berusia setahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintenden Saralathan Duraisamy berkata, hasil maklumat awal mendapati suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan mendera kanak-kanak perem­puan dan melarikan diri sebelum ketibaan polis di lokasi kejadian.

“Teman lelaki kepada ibu mang­sa dikatakan menderanya di lokasi kejadian yang merupakan tempat tinggal suspek bersama ibu mangsa.

“Setelah selesai memukul mang­sa, suspek bertindak menghantar kanak-kanak itu ke rumah keluarga ibunya di Jalan Rejang, Taman Setapak Jaya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Saralathan memberitahu, mangsa yang mengalami bengkak pada bibir, lebam pada kedua-dua mata serta bahagian belakang badan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan.

Beliau berkata, polis percayai ia bukan kali pertama suspek memukul kanak-kanak terbabit tetapi kali ini melampaui batas.

“Polis mempergiat usaha memburu suspek berusia 31 tahun dan kes dalam siasatan,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*