Polis dijadual bertemu dengan Muhammad Sanusi Md Nor hari ini bagi mendapatkan keterangan Menteri Besar Kedah berhubung isu Pulau Pinang yang dibangkitkannya baru-baru ini.
Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Noorsiah Saaduddin berkata sebelum ini pihak berkuasa menerima laporan polis mengenai Sanusi.
PDRM, katanya, membuka satu kertas siasatan ke atas Sanusi ekoran kenyataannya menganai status Pulau Pinang yang didakwa ahli politik terbabit sebagai milik Kedah.
“Rakaman percakapan Menteri Besar Kedah mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah akan dibuat pada 7 Jun,” katanya dalam kenyataan semalam.
Baru-baru ini Sanusi mendakwa Pulau Pinang sebenarnya masih milik Kedah dan bukannya sebuah negeri yang berasingan.
Pengarah Pilihan Raya PN itu mendakwa dia membuat kenyataan tersebut berdasarkan kepada kajian akademik.
Pada 31 Mei lalu FMT memetik Sanusi sebagai berkata disebabkan keadaan itu generasi sekarang perlu membetulkan sejarah dan meminda perlembagaan.
“Jika saban tahun kandungan perlembagaan dipinda di Parlimen mengikut proses dan prosedurnya, berdasarkan keperluan dan kehendak semasa, mengapa pula penemuan kukuh hendak diketepikan hanya kerana isu kandungan perlembagaan?” katanya kepada portal berita tersebut.
Noorsiah berkata siasatan ke atas Sanusi dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman, mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kes masih di peringkat siasatan,” katanya.
Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan membabitkan peruntukan bagi menyekat penyebaran berita yang mampu menimbulkan ketakutan atau kegentaran kepada awam, manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Mutimedia 1998 melibatkan sekatan penyebaran kandungan dalam talian yang bersifat lucah, palsu, ataupun mengancam individu lain.
Leave a Reply