Kenyataan Sanusi : Anwar serah sepenuhnya kepada Peguam Negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sepenuhnya kepada Peguam Negara untuk mengambil tindakan bersesuaian terhadap kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menuntut Pulau Pinang milik Kedah.

Menurut Anwar, kenyataan tersebut adalah tidak bertanggungjawab dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan berdasarkan beberapa peruntukan undang-undang sedia ada.

Tambahnya, siasatan dilakukan di bawah Kanun Keseksaan dan juga Akta Hasutan.

“Sebahagian laporan telah dikemukakan kepada Peguam Negara dan menunggu untuk diambil tindakan.

“Kedudukan Negeri Pulau Pinang sebagai sebuah negeri dalam Malaysia yang berasingan daripada Kedah jelas termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada Negeri-Negeri Tanah Melayu, termasuk Pulau Pinang.

“Mengapa perkara ini dibangkitkan? Apakah kerana nak gelojoh kuasa Pilihan Raya Negeri (PRN), kita korbankan prinsip Perlembagaan dan timbulkan huru hara. Ini menyebabkan timbul permasalahan,” katanya di Dewan Rakyat semasa Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta Perdana Menteri menyatakan tindakan ke atas gesaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda untuk padamkan Pulau Pinang telah memecahbelahkan perpaduan rakyat.

Tambah Anwar, diharapkan melalui siasatan PDRM yang diserahkan kepada Peguam Negara, perkara tersebut dapat dihentikan dengan segera kerana telah melanggar prinsip Perlembagaan yang di perkenan Majlis Raja-Raja.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*