William Thomas Stead merupakan seorang wartawan dan editor British yang dikenali pada zamannya. Pada Mac 1886, beliau menulis sebuah cerita pendek berjudul ‘Bagaimana Mail Stemer Karam Di Tengah Atlantik, Oleh Mangsa’ (How the Mail Steamer Went Down in Mid Atlantic, by a Survivor). Tulisannya itu telah disiarkan dalam akhbar Pall Mall Gazette.
Ia menceritakan tentang perjalanan seorang pelayar British bernama Thomas yang menaiki sebuah kapal baru bernama Mail Steamer yang memulakan pelayaran sulung menuju ke Amerika Syarikat.
Semasa berada di atas kapal tersebut, Thomas menyedari kapal gah itu tidak mempunyai bot kecemasan yang mencukupi. Sekiranya berlaku sebarang kejadian buruk, bot yang ada tidak akan mampu menampung jumlah penumpang atas kapal tersebut.
Apa yang dirisaukan Thomas jadi kenyataan. Selepas beberapa hari berlayar, kapal Mail Steamer telah berlanggar dengan sebuah kapal lain kerana kabus tebal yang menghalang pemandangan.
Perlanggaran itu menyebabkan kapal tenggelam. Daripada 916 penumpang di atas kapal tersebut, hanya 200 orang sahaja yang selamat termasuk Thomas selepas menaiki bot kecemasan. Selebihnya terkorban di tengah laut.
Di penghujung cerita tersebut, William sebagai penulis mengakhiri tulisannya dengan peringatan, lihatlah apa yang akan terjadi sekiranya sesebuah kapal besar berlayar tanpa mempunyai bot kecemasan yang mencukupi.
Ketika itu, tiada sesiapa yang mengendahkan catatan William itu. Namun, 26 tahun kemudian apabila Titanic tenggelam pada 14 April 1912, barulah peringatannya itu disebut kembali. Titanic yang berlanggar dengan ketulan ais akhirnya telah menenggelamkan kapal itu ke dasar lautan.
Kesilapan Titanic sebagai sebuah kapal mewah apabila tidak memberi perhatian terhadap bot keselamatan kerana terlalu angkuh dengan anggapan ia sebuah kapal hebat yang tidak akan karam.
Bot keselamatan yang ada di Titanic hanya mampu menampung sekitar tidak sampai 50 peratus jumlah penumpang. Selebihnya, mereka terkorban di lautan. Serupa seperti apa yang telah ditulis oleh William 26 tahun sebelum tragedi itu berlaku.
Peringatan Kedua
Pada tahun 1892, William menulis sebuah cerita pendek berjudul ‘From the Old World to the New’ yang mengisahkan tentang sekumpulan pelayar yang membantu menyelamatkan penumpang sebuah kapal bernama RMS Majestic yang karam kerana berlanggar dengan ketulan ais gergasi di utara perairan Atlantik.
Kisah garapannya itu ditulis 20 tahun lebih awal sebelum Titanic karam. Dan ia dikaitkan kerana cerita tulisan William itu telah lebih awal memberi amaran bahawa pelanggaran kapal gah dengan ketulan ais boleh berlaku dan mengakibatkan tragedi buruk.
Ramai yang mengaitkan tulisan William itu sebagai ramalan kerana benar-benar menjadi kenyataan, tetapi sebenarnya penulisan William yang berupa kisah fiksyen itu hanya kebetulan saja dengan tragedi Titanic.
Tetapi apa yang paling ironinya ialah, William yang merupakan penulis yang dikatakan telah ‘meramalkan’ kejadian tersebut juga terkorban dalam tragedi Titanic.
William menaiki Titanic sebagai penumpang kelas pertama untuk menghadiri sebuah persidangan damai di New York. Malangnya, dia antara ribuan mangsa yang gagal mendapat tempat di bot kecemasan dan akhirnya bersemadi di lautan tersebut bersama Titanic. Jasadnya tidak pernah ditemui.
Hanya setelah Titanic tenggelam, barulah tulisan William dipandang serius berkaitan isu kekurangan bot kecemasan dalam dunia pelayaran kapal besar.
Leave a Reply