Isu penjualan tanah kerajaan, Ahmad Said ‘cabar’ MB Terengganu berdebat

Pengerusi Umno Terengganu Datuk Seri Ahmad Said telah mencabar Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar untuk berdebat berkaitan isu penjualan tanah kerajaan kepada Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa’) dengan hanya RM500,000.

Ini ekoran daripada hakikat bahawa plot tersebut berharga RM29.3 juta.

Ahmad Said yang juga Adun Kijal berkata cabaran itu dibuat untuk membuktikan tindakan yang diambil oleh Ahmad Samsuri tidak bertentangan dengan undang-undang.

“Betul kalau dia kata ikut saluran undang-undang masuk mesyuarat semua. Tetapi, adakah logik harga tanah bernilai RM29 juta dijual pada harga RM500,000.

“Bagi saya itu satu pengkhianatan kepada rakyat Terengganu. Saya cabar Menteri Besar berdebat dengan saya.

“Saya sendiri pernah bekerja sebagai Penolong Pegawai Daerah bahagian tanah, beribu-ribu keping geran tanah saya pernah tandatangan, saya tahu undang-undang dan peraturan tanah,” kata Ahmad Said di majlis pelancaran jentera pilihan raya Dungun di Dataran Piramid Bukit Besi, malam tadi.

Beliau turut menyatakan bahawa perkara telah dibawa kepada perhatian Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“SPRM diminta segera mengambil tindakan jika tidak kewibawaan SPRM akan dipertikaikan oleh rakyat. Begitu juga berkaitan dengan hal balak, emas. Kenapa tak siasat dan tidak dakwa?

“Kita minta buktikan sebagaimana kita bawa ke mahkamah kes rasuah melibatkan agihan wang kepada pengundi.

Di mana logiknya?

Ahmad Said yang pernah menerajui kerajaan Terengganu turut mempersoalkan logik di sebalik harga RM500,000 berdasarkan bayaran premium tanah.

“Kalau ikutkan nilai tanah itu RM6.7 juta, premium yang sepatutnya dikenakan ialah lapan peratus. Apatah lagi dia nilaikan tanah itu RM5.5 juta dan mengarah tanah itu dibayar RM550,000.

“Sedangkan nilai semasa tanah itu yang dibuat kerajaan bernilai RM29 juta. Adakah itu ikut peraturan? Nilai RM29 juta kamu beri hanya RM550,000… mana modal kerajaan? Ini duit rakyat, pengkhianatan kepada rakyat.

Laporan yang mendakwa kerajaan Terengganu menjual tanah seluas 11,299 meter persegi yang terletak di kawasan strategik di Batas Baru pada harga lebih rendah dari pasaran iaitu pada harga RM500,000 meskipun tanah tersebut bernilai RM29.3 juta kepada Khairunnisa’ telah tular beberapa hari yang lalu.

Berdasarkan laporan tular berserta dokumen – yang tidak dapat dipastikan kesahihannya secara bebas – Pendaftar Tanah Kuala Terengganu pada 10 Feb 2019 menyatakan tidak memberi pertimbangan kepada permohonan Khairunnisa’.

Hal itu kerana tanah tersebut mahu disimpan untuk tujuan kepentingan awam mengikut Seksyen 62 Kanun Tanah Negara. Ia diwartakan pada 28 Apr 2011.

Penjualan itu tidak disokong oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan bertentangan dengan harga premium yang sepatutnya dikenakan sebanyak RM5.87 juta tetapi didakwa dikurangkan oleh kerajaan negeri kepada RM500,000 sahaja.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*