‘Selepas Hadi mereka temui saya tawarkan PAS sertai Kerajaan Perpaduan’

Selepas dua hari Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa ada pihak menawarkan PAS menyertai Kerajaan Perpaduan, timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula mengesahkan beberapa pihak menghubungi dan menemuinya bagi tujuan sama.

Tuan Ibrahim berkata tawaran disampaikan wakil kerajaan yang bertemu dengan beliau sendiri.

“Pertama saya sahkan apa yang dinyatakan oleh presiden, bahkan mereka (wakil Kerajaan Perpaduan) juga bertemu dengan saya menyampaikan tawaran itu.

“Namun kami nyatakan pendirian kekal bersama Perikatan Nasional (PN) sebagaimana janji semasa kempen, dan kami tidak akan berbohong dengan pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas tawaran diterima PAS bagi menyertai Kerajaan Perpaduan sepertimana dinyatakan Abdul Hadi.

Sabtu lalu, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN mendakwa, tawaran itu muncul kerana Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR menyedari kedudukannya tidak kukuh, apatah lagi jumlah kerusi Melayu parti berkenaan tidak sebanyak PAS.

“Ada orang hubungi saya, beberapa orang ajak berjumpa dengan tawaran-tawaran supaya PAS menyertai kerajaan kerana jumlah PAS paling besar iaitu 43 kerusi.

“PKR 30 sahaja, dalam keadaan itu 19 kerusi PKR Melayu, DAP tiga orang Melayu, kerajaan didominasi oleh bukan Melayu,” kata Ahli Parlimen Marang itu.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, beliau melihat tawaran itu hadir kerana data mengesahkan sokongan pengundi Melayu kepada PN jauh mengatasi PH.

“Itupun dalam situasi rakyat ditipu dengan janji BN tidak akan bersama Anwar dan DAP, demikian juga janji PH tidak akan bersama BN.

“Bahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kalau harapkan untuk melihat gabungan dengan BN , sila cari presiden lain dari beliau. Ini kenyataan semasa kempen,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*