‘Kafirkan’ Ahmad Maslan tindakan ‘melampau’

Pergerakan Pemuda UMNO akan membuat laporan polis terhadap seorang pengguna Facebook yang melampau dengan menggelarkan Timbalan Pengerusi UMNO Johor Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai kafir murtad.

Ketua Pemuda UMNO Dr. Mohamad Akmal Saleh berkata, tindakan pengguna Facebook yang menggunakan akaun bernama Kamarul Aripin Lamin disifatkan sebagai fanatik.

“Politik ini tidak kotor. Tetapi orang yang terlalu fanatik dan melampau itu yang membuatkan politik ini kotor!

“Saya mohon pada semua tidak kira warna apa sekalipun parti politik kita, janganlah berperangai seperti ini,” kata Akmal.

Menurut beliau perbuatan melemparkan penghinaan yang dilakukan itu tidak boleh diterima dan tidak diperlukan di dalam masyarakat.

Beliau menegaskan, tindakan menghina orang lain tidak menjadikan seseorang lebih mulia di sisi Allah.

“Saya percaya kini rakyat mampu menilai pemimpin yang bagaimana mereka perlukan untuk menjadi pemimpin.

“Insya-Allah esok, Pergerakan Pemuda UMNO akan membuat laporan polis atas tindakan yang melampau dan kurang ajar ini.

“Rakyat kini memerlukan politik yang matang dan progresif untuk membantu rakyat, bukannya pelampau-pelampau seperti ini,” katanya.

Kamarul Aripin Lamin membuat hantaran itu selepas Ahmad dilaporkan meminta ahli UMNO supaya mengundi calon-calon Kerajaan Perpaduan termasuk dari parti DAP pada pilihan raya di enam negeri nanti.

“Tak keterlaluan jika dikafirkan MP UMNO Pontian Mad Maslan ni selepas kita tengok dia suruh orang UMNO dan orang Melayu sendiri untuk undi kafir DAP.

“UMNO semakin rosak. PH dah lama kita tau dipenuhi golongan kafir dan munafik,” katanya.

Beliau turut berkongsi poster Ahmad dengan tulisan’Ahmad Maslan jauh kafir murtad! Seronok jadi babi barua DAP’.

Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dilaporkan meminta pengundi UMNO di enam memangkah calon Kerajaan Perpaduan tidak mengira parti di kawasan masing-masing demi mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, apabila ahli UMNO sudah berada di dalam Kerajaan Perpaduan, maka ahli hendaklah mengikut disiplin parti.

“Disiplin parti itu memastikan arahan parti dituruti… memanglah undi itu rahsia tetapi gesaan saya ialah bukan (undi) atas nama parti atau DAP tetapi atas nama Kerajaan Perpaduan.

“Kerajaan Perpaduan ini titah Yang di-Pertuan Agong apabila Parlimen negara tergantung, jadi kita akur pada titah, setia pada titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika diminta mengulas sejauh mana kesudian pengundi Umno untuk mengundi DAP dalam PRN tidak lama lagi.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*