KDNK Malaysia berkembang 5.6 peratus suku pertama 2023

Ekonomi Malaysia terus berkembang sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023 didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri.

Pertumbuhan itu bagaimanapun lebih perlahan berbanding 7.1 peratus yang direkodkan pada suku keempat (S4 2022).

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan berkata, pasaran pekerja yang bertambah baik serta peningkatan guna tenaga yang mantap dan upah yang terus meningkat telah menyokong penggunaan swasta.

Sementara itu, aktiviti pelaburan disokong oleh pengembangan kapasiti dan projek berbilang tahun yang terus
dilaksanakan.

Katanya, pelancongan ke dalam negeri yang terus pulih meningkatkan eksport perkhidmatan dan sebahagiannya mengimbangi pertumbuhan eksport barangan yang lebih perlahan.

Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan dan perkilangan terus memacu pertumbuhan. Pada asas suku tahunan terlaras
secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 0.9 peratus (S4 2022: -1.7 peratus).

“Inflasi keseluruhan pada suku pertama menurun kepada 3.6 peratus (S4 2022: 3.9 peratus). Hal ini disebabkan terutamanya oleh inflasi teras yang sederhana dan harga minyak RON97 yang lebih rendah. Pengurangan inflasi teras (S1 2023: 3.9 peratus; S4 2022: 4.2 peratus) sebahagian besarnya disumbangkan oleh perkhidmatan terpilih.

“Perkhidmatan tersebut termasuk perkhidmatan telefon dan telefaks, makanan di luar rumah serta pembaikan dan penyelenggaraan pengangkutan persendirian.

“Meskipun tekanan kos terus menjadi reda, terutamanya harga komoditi global, inflasi teras kekal tinggi pada suku pertama berikutan keadaan permintaan yang terus kukuh. Tekanan harga kekal meluas,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*