Kerajaan dan industri bersetuju untuk mengekalkan harga runcit minyak masak sawit tulen dalam botol untuk tempoh 8 Mei sehingga 7 Jun depan.
Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pengekalan harga runcit tersebut melibatkan pembayaran subsidi kepada pengilang-pengilang penapis secara tuntutan bayaran balik (reimbursement) berdasarkan bilangan tuntutan sebenar.
“Secara umumnya, terdapat kenaikan harga minyak sawit mentah (crude palm oil) untuk bulan April berbanding bulan sebelumnya yang melepasi RM4,000 per tan metrik.
“Kenaikan ini sekali gus menyebabkan berlakunya kenaikan harga runcit minyak masak tulen dalam botol berdasarkan kepada konsep harga siling bergerak.
“Namun, bagi mengelak bebanan kepada rakyat dan pengguna, kerajaan dan industri bersetuju untuk mengekalkan harga runcit minyak masak sawit tulen dalam botol dan perbezaan harga ditanggung oleh kerajaan,” katanya.
Menurut KPDN, harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen dalam botol pada tempoh tersebut adalah RM6.90 bagi kemasan botol satu kilogram (kg), RM13.30 (2 kg), RM19.60 (3 kg) dan RM30.90 bagi lima kilogram.
Jelasnya, adalah menjadi komitmen kerajaan untuk terus membantu rakyat meringankan beban kos sara hidup dan menangani isu kenaikan harga bagi mengelakkan kesan kepada pengguna.
“Selain pelbagai inisiatif di bawah Payung Rahmah, turut diteruskan adalah peranan kerajaan menerusi KPDN yang menetapkan harga runcit maksimum bagi minyak masak tulen kemasan botol bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No.4) 2023,” ujarnya.
Leave a Reply