Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dijangka memuktamadkan insiatif insurans Rahmah dalam dalam masa terdekat untuk ditawarkan kepada orang ramai khususnya golongan B40 bagi melindungi kenderaan dan kediaman.
Menterinya Salahuddin Ayub berkata setakat ini pihaknya telah melakukan dua kali libat urus dengan syarikat penyedia insurans bagi memuktamadkan skim-skim yang dapat ditawarkan dengan kadar premium yang sesuai.
“Insurans Rahmah akan dimuktamadkan dalam bulan ini. Kita telah ada dua kali libat urus dengan syarikat insurans, jadi mereka (syarikat insurans) telah pertimbangkan cadangan kita tapi yang penting bagi saya adalah insurans untuk perlindungan disebabkan bencana.
“Contohnya rumah-rumah di kampung-kampung di daerah yang sememangnya sudah pasti dilanda banjir semasa musim tengkujuh, data itu kita sudah ada, cuma bagaimanakah bentuk pakej itu sedang kita pertimbangkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul Rahmah kepada penerima bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Anak Bukit, DUN Pengkalan Kundur dan DUN Kubang Rotan di Kuala Kedah hari ini.
Beliau berkata pihaknya juga telah mengemukakan cadangan kepada syarikat insurans untuk menyediakan skim insurans bagi melindungi kenderaan terpakai yang dimiliki golongan B40 dan M40 yang memerlukan.
Sementara itu Salahuddin berkata setakat ini kira-kira 70 peratus golongan miskin tegar telah menerima bantuan bakul Rahmah yang diedarkan dengan kerjasama bersama pemain Industri (pasar raya) agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan.
“Tinggal 30 peratus golongan miskin tegar sahaja lagi (yang belum menerima) untuk kita dapat capai 100 peratus miskin tegar, yang mengikut statistiknya berjumlah kira-kira 130,000 seluruh negara,” katanya.
Leave a Reply