PN ‘ditempelak’ jadikan Rumah Terbuka Malaysia Madani modal cetus permusuhan politik

Perikatan Nasional (PN) ditempelak apabila menjadikan Rumah Terbuka Malaysia Madani sebagai modal yang mencetuskan permusuhan politik.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pendirian PN itu bercanggah dengan dua Menteri Besar di Terengganu dan Kelantan yang terang-terangan mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menganjurkan sambutan Aidilfitri di negeri-negeri tersebut.

Katanya, rumah terbuka itu adalah sekadar sambutan Aidilfitri bersama rakyat untuk meraikan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bendera parti politik yang mentadbir negeri berbeza.

“Sambutan Aidilfitri pada peringkat negeri oleh kerajaan persekutuan bukanlah sesuatu yang wajar dilabelkan sebagai tindakan melangkaui sempadan hormat dan adab, apatah lagi ketiga-tiga Menteri Besar kerajaan negeri PN termasuk Kedah bersetuju dan menyambut mesra penganjuran majlis yang akan dihadiri Perdana Menteri di negeri masing-masing.

“Usaha mendekati rakyat tanpa mengira sempadan negeri kerajaan dan pembangkang adalah tanggungjawab bersama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Dakwaan motif politik dan tuduhan menggunakan jentera parti untuk persaingan pengaruh yang tidak dibuktikan adalah kenyataan berniat jahat untuk menimbulkan kebencian rakyat kepada pimpinan Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga menyifatkan tindakan PN membangkitkan perihal hutang negara dan penjimatan adalah sesuatu yang tidak munasabah.

“PN memberi hukuman bahawa pimpinan Kerajaan Malaysia Madani tidak berhak untuk menganjurkan apa-apa program untuk rakyat hanya kerana prinsip penjimatan yang diperkenal Perdana Menteri. Setakat ini, tidak ada lagi pembuktian dari PN bahawa penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri ini adalah pembaziran melainkan persepsi semata-mata,” katanya.

Pada masa sama, katanya, cubaan mengaitkan kerajaan persekutuan terhadap pembatalan siaran Takbir Raya PN juga adalah provokasi kepada kerajaan dan bertujuan memburuk-burukkan kerajaan.

“Keputusan pembatalan program oleh Media Prima tidak mempunyai sebarang pengaruh daripada kerajaan. Sekiranya PN ingin mendapatkan maklum balas menjangkaui ‘ralat teknikal’ yang dimaklumkan, rujukan sebaiknya ditujukan kepada stesen television berkaitan, bukan sewenang-wenangnya membuat dakwaan umum yang kerajaan bertanggungjawab ke atas pembatalan siaran takbir raya politik yang dibiayai oleh PN,” katanya.

Justeru, beliau beranggapan serangan terhadap kerajaan persekutuan adalah disebabkan kegagalan PN untuk membuat jaringan politik.

“Ia adalah kezaliman politik sebenar yang mengeruhkan bukan sahaja hubungan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri, malah ia adalah satu bentuk hasutan untuk menanam keraguan kepada orang awam terhadap realiti yang tidak boleh diterima pucuk pimpinan PN.

“Malah, tindakan membuka gelanggang untuk membalas usaha murni meraikan Aidilfitri inilah yang menlangkaui sempadan hormat dan adab. Ia hanya mempamerkan ketakutan PN kepada perkara yang tidak wujud sehingga imaginasi politik mereka menjadikan semua tindakan Perdana Menteri dan kerajaan adalah kesalahan di mata umum,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*