Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor diminta mencontohi kerajaan Kelantan dan Terengganu yang menyambut baik penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari berkata, Muhammad Sanusi seharusnya faham bahawa kedatangan Syawal adalah berkaitan dengan kemaafan dan bukannya pergaduhan.
Menurutnya, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dilihat jelas memahami serta menghayati semangat kebersamaan pada bulan Syawal.
“Hari raya ini sepatutnya kita meraikan semua. Kalau dulu semua asyik bertumpu di Lembah Klang, kali ini Perdana Menteri meraikan semua terutamanya yang jauh ‘nun’ di utara dan Pantai Timur.
“Sebagai anak Kedah, memang saya seronok sangat apabila ada pengumuman rumah terbuka Perdana Menteri dibawa sampai ke negeri ini. Bukan apa, baru sekaranglah anak Kedah ini rasa disambut serta tidak dipinggirkan.
“Malah jamuan ini bukan untuk parti tertentu saja sebaliknya semua boleh datang tanpa mengira Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN),” katanya melalui ciapan dibuat di media sosial Twitter di sini, hari ini.
Sebelum ini Muhammad Sanusi mendakwa penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Selangor hanyalah satu program kempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi dan tidak wajar diadakan kerana menelan belanja tinggi yang bertentangan dengan langkah penjimatan kerajaan Persekutuan.
Kerajaan negeri Kelantan sebelum ini menyatakan langkah mengadakan rumah terbuka di negeri berkenaan sebagai membuktikan kebersamaan antara Persekutuan dan negeri masih wujud manakala Ahmad Samsuri pula memaklumkan, kerajaan negeri Terengganu sedia meraikan Perdana Menteri serta Menteri Kabinet sebagai tetamu istimewa dalam majlis itu.
Mengulas lanjut Mohammed Taufiq yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan Kedah turut mempersoalkan mengapa tindakan Perdana Menteri untuk ‘makan-makan’ bersama rakyat Malaysia dianggap sebagai kempen pilihan raya?
“Kalau datang Selangor makan dengan anak Kedah sampai buat cerita disingkirkan dari Majlis Kewangan Negara, itu barulah dikira sebagai berpolitik. Ini Perdana Menteri tak datang pun lagi, tetapi dah didakwa berkempen.
“Tak mengapalah kerana Menteri Besar pun ada nyatakan akan turun sekali ke rumah terbuka itu nanti. Seronok saya dengar dan nanti kalau datang, bolehlah kita sembang-sembang. Kadang-kadang politik memang boleh jadi panas sedikit. Harapnya air yang ‘depa’ hidang di rumah terbuka nanti, boleh bagi sejuk sikit,” katanya.
Leave a Reply