
Jenayah penipuan dalam talian atau “scam” dilihat semakin parah sejak akhir-akhir ini apabila jumlah kerugian dilaporkan mencecah jutaan ringgit.
Berdasarkan rekod, lebih 25,000 kes penipuan dalam talian dicatatkan sepanjang 2022 membabitkan kerugian kira-kira RM850 juta.
Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Mustafar Ali mendedahkan antara faktor penyumbang kepada kegiatan itu adalah kewujudan akaun keldai.
“Faktor yang menyebabkan jumlah kerugian akibat sindiket penipuan dalam talian adalah kewujudan akaun keldai ‘dibeli’ dengan tawaran RM500 seorang kepada pemilik asal akaun itu untuk memindahkan wang haram.
“Wang mangsa yang ditipu akan dimasukkan ke akaun keldai dan dipindahkan ke beberapa akaun keldai lain, sebelum akhirnya dikeluarkan dalam tempoh singkat menyebabkan ia sukar dijejaki,” katanya kepada Bernama.
Keldai akaun pula ialah individu yang menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya serta nombor pengenalan peribadi (PIN) kad itu kepada individu lain dan akaun terbabit digunakan bagi tujuan jenayah.
Mustafar berkata, peningkatan kes itu turut didorong penggunaan teknologi dan penipuan melalui media sosial serta kebocoran maklumat pengguna.
Mengulas penipuan melalui media sosial, beliau berkata, “scammer” atau sindiket penipuan akan menghubungi mangsa melalui media sosial seperti aplikasi WhatsApp dan Telegram, selain menyamar sebagai kenalan atau pihak berkuasa melalui Facebook, Instagram, TikTok dan aplikasi lain.
“Taktik terbaharu ‘scammer’ adalah memberi pautan menyamar sebagai pautan laman bank atau meminta mangsa memuat turun aplikasi bagi mendapatkan perkhidmatan mereka.
“Mangsa seterusnya diminta mendedahkan maklumat peribadi, termasuk maklumat perbankan yang akan menyebabkan akaun mangsa diceroboh scammer dan kehilangan wang.”
Katanya, jenayah penipuan dalam talian berlaku berlandaskan latar belakang mangsa, contohnya “Macau Scam” menyasarkan individu mempunyai simpanan banyak, manakala penipuan e-dagang membabitkan pembeli dan penjual.
“Penjenayah menggunakan pelbagai helah untuk mendapatkan maklumat perbankan daripada mangsa dan lebih merumitkan keadaan apabila mangsa lambat menyedari wang mereka sudah lesap.
“Kerugian dialami bukan saja memberi impak negatif terhadap ekonomi negara, malah boleh menjadi pencetus masalah sosial secara umumnya.”
Beliau berkata, hasil tindakan analisis agensi penguat kuasa mendapati sindiket penipuan juga menggunakan nombor telefon diperoleh secara haram yang menjual maklumat peribadi dan nombor telefon pengguna.
Katanya, kerajaan telah dan akan melaksanakan langkah khusus bagi memerangi jenayah dalam talian, antaranya mempertingkatkan kerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa bagi memastikan tindakan lanjut boleh diambil ke atas penjenayah di luar negara.
“Jenayah ‘scam’ perlu ditangani secara bersama dengan penglibatan semua pihak, termasuk yang pernah menjadi mangsa. Kempen kesedaran perlu disemai dan dididik sejak peringkat sekolah hingga universiti dengan mengadakan program khusus mengenai jenayah ‘scam’ dan bagaimana mengelak menjadi mangsa.”
Sementara itu, Mustafar berkata, kerajaan berhasrat meningkatkan keupayaan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) berkaitan pengoperasian, sumber tenaga kerja, sistem data berpusat, kemudahan infrastruktur pejabat, peralatan teknikaliti dan sistem analisis kewangan.
“Memandangkan pengoperasian NSRC menggabungkan tenaga kerja dan kepakaran pelbagai agensi, termasuk perbankan dan telekomunikasi, tindakan penguatkuasaan bersepadu yang berkesan boleh dilaksanakan.
“Antara tindakan boleh diambil adalah penyitaan atau sekatan pengaliran wang hasil jenayah atas talian.”
Beliau berkata. kerajaan sedang meneliti beberapa peruntukan undang-undang yang boleh digunakan atau dipinda bagi membolehkan pengembalian wang kepada mangsa.
Antara peruntukan undang-undang yang sedang diteliti ialah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi geran pengoperasian sebagai usaha mengukuhkan peranan NSRC.
- Turut baca : Abdul Hadi ‘arkitek’ permusuhan antara DAP dan PAS
Leave a Reply