Selepas dibeku SPRM sita akaun bank Bersatu

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menjelaskan dua akaun bank milik Bersatu disita selepas mengemukakan perintah kepada bank mengikut akta pengubahan wang haram.

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan berkata, perintah itu dikemukan selara dengan Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ia menambah akaun terbabit sebelum ini dibekukan pada 12 dan 13 Januari mengikut Seksyen 44 akta yang sama bagi membantu siasatan berhubung wang yang disyaki diperoleh daripada hasil haram.

“Susulan itu, SPRM telah melaksanakan tindakan sitaan tersebut pada 11 April 2023 berhubung siasatan dan pertuduhan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Muhyiddin Yassin di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan AMLATFPUAA 2001,” kata suruhanjaya itu.

Selasa lalu, The Edge Markets melaporkan Bersatu menulis surat kepada SPRM bertanyakan mengapa akaun CIMB Islamic dan AmBanknya masih dibekukan selepas tempoh 90 hari.

Bersatu memfailkan semakan kehakiman selepas SPRM menolak permohonan parti itu supaya pembekuan itu ditarik balik.

SPRM mengesahkan pada 1 Februari suruhanjaya itu membekukan beberapa akaun bank milik Bersatu berhubung dakwaan penyelewengan dana yang digunakan kerajaan ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Presiden Bersatu, Muhyiddin kemudiannya ditangkap dan didakwa atas tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, serta dihalang meninggalkan negara.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa pertuduhan yang dikenakan terhadapnya adalah bermotifkan politik.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*