Penganalisis : Rumah terbuka Anwar di tiga negeri gagal dihalang pembangkang

Langkah Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan sambutan rumah terbuka Aidilfitri di tiga negeri yang dikuasai PAS telah menyukarkan musuh politiknya, kata beberapa panganalis politik.

Kedah, Kelantan dan Terengganu – tidak mempunyai banyak pilihan selain menjadi tuan rumah yang mesra memandangkan mereka akan mendapat malu jika acara itu dijadikan sebagai bahan politik.

Penganalisis politik memberitahu Malaysiakini bahawa tidak syak lagi penganjuran rumah terbuka itu mempunyai kaitan dengan pilihan raya negeri di enam negeri tidak lama lagi.

“Itu strategi politik beliau (Anwar). Nak rapatkan diri dia dengan rakyat, dampingi rakyat dan tengok lagi keakraban dengan pemimpin negeri tersebut.

“Memang ada kaitan dengan PRN, yang mungkin selepas raya haji, dalam akhir bulan 6 atau awal 7.

“Masa terbaik untuk dia bertemu rakyat adalah ketika sambutan hari raya,” kata Prof Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Azizuddin berpendapat pemimpin pembangkang tidak akan mengambil risiko untuk merosakkan majlis rumah terbuka Aidilfitri yang diadakan Anwar bagi menunjukkan mereka mendahulukan kepentingan rakyat.

Berkongsi pandangan yang sama dengan Azizuddin, ahli akademik Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata adalah tidak wajar bagi blok pembangkang untuk mempolitikkan majlis yang diadakan khusus untuk orang ramai.

“Libatkan perayaan dan keagamaan ini, takkan nak politikkan. takkan setiap hari nak buat politik.

“Bukan dari sudut politik semata-mata. Lihat Keikhlasan kerajaan pusat mahu bina hubungan yang lebih dengan kerajaan negeri, walaupun kerajaan negeri adalah pembangkang,” katanya.

Berpendapat Anwar sedang membina landasan untuk menghadapi PRN yang akan datang, Awang berkata acara rumah terbuka tersebut dapat meningkatkan imej pentadbiran perdana menteri serta mengembalikan keyakinan orang ramai.

“Tujuannya memastikan rakyat di negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu ini, terdapat limpahan pentadbiran Anwar.

“Anwar sedang mengambil pendekatan ‘sentuhan peribadi’ dengan mendekati rakyat,” katanya.

Turut senada ialah pakar sains politik Wong Chin Huat yang berkata kerajaan negeri pembangkang tidak akan memperburukkan keadaan dengan memusuhi kerajaan persekutuan untuk tempoh berbaki lima tahun.

Wong berpendapat pembangkang akan berada di pihak yang kalah jika pemimpinnya memutuskan untuk berseteru atau bermain politik menjelang rumah terbuka tersebut.

“Kerajaan persekutuan hanya akan mendapat keuntungan jika mereka dapat menunjukkan bahawa tanggungjawab itu berada pada pihak lain,” katanya.

Dia berpendapat melibatkan kerajaan negeri pembangkang dalam acara rumah terbuka itu sebagai bijak kerana ia boleh dilihat sebagai langkah untuk menurunkan suhu politik.

“Permusuhan antara kerajaan dan pembangkang adalah biasa pada zaman BN.

“Jika ini berterusan, ia akan membantu Perikatan Nasional (PN) menggerakkan kumpulannya dan menjauhkan sebahagian pengundi Melayu yang sebaliknya mungkin akan mengundi Pakatan Harapan,” katanya.

Menurutnya kerajaan persekutuan telah memanfaatkan peluang untuk menyampaikan mesej kepada pengundi PN melalui sikap mesra dan profesional.

“Ia ingin menunjukkan bahawa kehadiran kerajaan negeri PN diterima oleh kerajaan persekutuan yang dipimpin oleh Pakatan Harapan – bahawa mereka tidak terancam dan tidak ada keperluan mendesak untuk mengundi PN, apa pun atau siapa pun calon tempatan itu,” jelasnya.

Bagaimanapun, penyelidik kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA) Oh Ei Sun mengingatkan penyelaras rumah terbuka berkenaan iaitu Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi Jabatan Perdana Menteri (Pacu) – agar tidak mengambil mudah.

“Dalam politik, musuh politik akan cuba menghalang satu sama lain. Jadi pihak penganjur perlu berhati-hati untuk memastikan acara berjalan lancar,” ujarnya.

‘Usaha Anwar hentikan ‘gelombang hijau’

Oh berkata tindakan kerajaan Anwar untuk menembusi negeri tradisional PAS adalah satu usaha yang sia-sia.

“Saya fikir dia (Anwar) hanya melakukan yang terbaik untuk menghalang sedikit serangan ‘gelombang hijau’ dalam pilihan raya.

“Dia tahu betul bahawa tidak ada sesiapa yang benar-benar dapat menghentikan ‘gelombang hijau’.

“Mereka (PAS) bukan sahaja kuat secara politik tetapi juga dari sudut agama,” ujarnya.

Buat pertama kali dalam sejarah majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri diadakan di luar Lembah Klang.

Selain Kedah, Kelantan, dan Terengganu, majlis serupa juga akan diadakan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Kerajaan negeri akan menjadi tuan rumah majlis berkenaan dan disokong oleh kementerian persekutuan.

Menteri Besar atau Ketua Menteri negeri yang terlibat juga akan dijemput hadir pada majlis rumah terbuka itu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*