Tindakan peniaga dan pembekal ayam sengaja naikkan harga undang padah

Tindakan peniaga dan pembekal ayam yang sengaja menaikkan harga melebihi harga kawalan menerima padah apabila mereka bakal dikenakan tindakan undang-undang termasuk dituduh di mahkamah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, seramai lima pembekal di sekitar Tampoi, di sini akan dihadapkan ke mahkamah kerana menjual ayam melebihi harga yang telah ditetapkan.

Setakat ini pihaknya sudah mengambil tindakan kompaun terhadap enam pembekal dan lima peruncit di negeri ini sejak awal Ramadan ini.

“Bagi aduan berkaitan harga ayam dijual mahal daripada harga kawalan, kita sudah ambil tindakan. Peruncit yang menjual melebihi harga siling, iaitu RM9.40 sekilogram telah dikenakan tindakan kompaun.

“Sementara itu, pembekal yang menjual bekalan ayam kepada peruncit melebihi RM8.10 turut dikenakan tindakan. Kita sedang melengkapkan kertas siasatan untuk menghadapkan lima daripada enam pembekal di mahkamah,” katanya pada Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SKMMP) Hari Raya Puasa 2023 Peringkat Negeri Johor di Mydin Mall.

Yang turut hadir, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Johor, Lilis Saslinda Pornomo dan Ketua Pegawai Penguat Kuasa negeri, Muhammad Aizudin Mohd. Said.

LEE TING HAN (dua dari kanan) melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SKMMP) Hari Raya Puasa 2023 Peringkat Negeri Johor di Mydin Mall, Johor Bahru.

Media sebelum ini melaporkan terdapat peniaga di negeri yang menaikkan harga jualan ayam melebihi harga siling yang ditetapkan kerajaan.

Ting Han berkata, hasil pemantauan dan pemeriksaan yang dijalankan mendapati peniaga menaikkan harga ayam sesuka hati sehingga RM10.50 sekilogram pada awal Ramadan lalu.

Menurutnya, sejak kementerian melaksanakan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam pada 5 Februari lalu, sebanyak 347 kes di negeri ini telah dikenakan tindakan dengan nilai kompaun sebanyak RM134,200.

Antara kesalahan yang dilakukan ialah 38 kes tidak meletakkan tanda harga, tidak meletakkan ‘tag merah jambu’ (237) dan melanggar harga kawalan (71) dengan nilai rampasan berjumlah RM41,380.

Mengenai SHMMP Hari Raya Puasa, beliau berharap peniaga akan mematuhi undang-undang dan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*