Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan saman terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana Perdana Menteri tidak menarik balik fitnah dan meminta maaf terhubung tuduhan menyalah guna kuasa bagi memperkayakan keluarganya.
Dalam perkongsian bertajuk ‘Cari Gaduh’ menerusi Facebook petang semalam, Dr Mahathir berkata, tindakan saman diambil kerana Anwar masih meneruskan fitnah terhadapnya walaupun selepas berjaya menjadi Perdana Menteri.
“Hari ini, hari terakhir untuk Datuk Seri Anwar dan peguamnya menjawab surat dari peguam saya yang memintanya menarik balik fitnah dan meminta maaf kerana menuduh saya menyalah guna kuasa untuk memperkaya keluarga, jika tidak, saya telah arah peguam untuk teruskan tindakan undang-undang.
“Selain itu, saya juga diberitahu bahawa Anwar setelah peguam saya keluar surat meminta dia menarik balik fitnahnya, ketika berdialog dengan pelajar-pelajar universiti telah berkata bahawa dia tidak mahu bergaduh dengan saya.
“Ini agak pelik. Dia fitnah saya bermacam-macam selama berpuluh tahun. Masa itu pun bila minta tunjuk bukti, tak ada satu pun bukti yang dia tunjuk walaupun dengar cerita ada berkotak-kotak bukti dalam simpanannya,” katanya menerusi perkongsian itu.
Dr Mahathir menjelaskan, sebelum ini beliau tidak mengambil tindakan terhadap Anwar kerana menganggap serangan yang dibuat sebelum ini adalah perbuatan seseorang yang terdesak kerana terlampau mahu jadi Perdana Menteri.
“Tetapi hari ini, apabila dia dah jadi Perdana Menteri, dia masih teruskan fitnah. Jadi saya minta tarik balik dan jika tidak saya ambil tindakan undang-undang. Itulah yang saya lakukan. Jadi siapa yang cari gaduh?,” katanya.
Leave a Reply