Subsidi minyak masak: Beri keterangan bukan disiasat SPRM, kata KSU KPDN

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Azman Mohd Yusof berkata, beliau ada dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung terlebih belanja subsidi minyak masak tahun lalu.

Bagaimanapun, Azman menjelaskan beliau bukannya disiasat agensi itu tetapi memberi keterangan berhubung proses yang berlaku berkaitan pengagihan minyak masak bersubsidi, lapor Berita Harian.

Azman berkata demikian ketika diminta mengulas laporan dua portal tempatan berhubung dakwaan beliau berbelanja melebihi nilai RM9 juta, bagi tambahan kuota subsidi minyak masak pada tahun lepas.

Portal itu yang memetik sumber, dilapor berkata, SPRM memanggil beberapa pegawai kementerian termasuk Azman.

“Memang sudah dipanggil tahun lepas lagi dan ia bukannya dipanggil satu kes. Sebaliknya, dipanggil hanya untuk SPRM mendapatkan keterangan tentang proses yang berlaku berkaitan pengagihan minyak masak bersubsidi.

“Saya tak tahu mengapa berita mengenai isu ini dikeluarkan kembali, sedangkan berdasarkan bacaan saya, seolah-olah ada butiran dalam laporan berita itu tidak sepatutnya keluar kerana di peringkat rahsia, memandangkan itu maklumat berkait dengan siasatan yang dari situ juga mungkin berlakunya ketirisan,” katanya dalam satu majlis di Tambun, Perak.

Azman berkata, beliau sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Bukit Aman kerana pihaknya turut mendapat kerjasama baik dari polis untuk membantu membongkar banyak kes penyeludupan, khususnya minyak masak dan diesel.

Katanya, beliau meluluskan kuota tambahan minyak masak peket bersubsidi bagi memastikan bekalan mencukupi di pasaran, selaras dengan perundangan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*