Seorang TikTokers Pas dan bekas Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) antara individu pro-Perikatan Nasional (PN) yang dilantik memegang jawatan dalam agensi Islam milik kerajaan iaitu Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM).
Menurut senarai yang tersebar di media sosial, Nur Ayuni Mohd Norudin yang merupakan TikTokers Pas, dilantik ke jawatan Unit Perhubungan dan Keurusetiaan YADIM.
Sementara itu, Saifullah Baiduri pula dilantik sebagai Penolong Pengarah, Bahagian Kepimpinan Muda.
Menerusi satu poster yang dikongsi pengguna Twitter, kedua-dua wajah individu itu terpampang sebagai panel dalam satu Program Bicara Ramadan Warga Yadim tahun 2023 “Refleksi Hari Terakhir”, yang diadakan pada semalam.
Malah, satu poster berkenaan Saifullah turut disebarkan warga maya, menunjukkan bekas pemimpin penuntut itu pernah mengeluarkan kenyataan provokatif yang mengganggu ketenteraman awam.
Ia berbunyi “Ayuh bersama Dong Zong, ulangi peristiwa 13 Mei 1969”. Poster itu dikongsi pada 2019, dan diulang kicau semula sejak semalam.
Bagaimanapun, pada hari yang sama (tahun 2019) selepas mendapat kecaman ramai, Gamis mengubah gambar itu dengan tajuk baru berbunyi: “Dong Zong, Jangan Ulangi Peristiwa 13 Mei 1969.”
Penampilan ramai individu yang secara jelas terbukti merupakan penyokong Pas dalam YADIM itu dilihat mengundang rasa tidak senang orang ramai mengenai ancaman terhadap kerajaan Madani yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim pada masa ini.
Rata-rata berpendapat menteri bertanggungjawab wajib memastikan jabatan dan agensi di bawah kendalian masing-masing tidak melantik mereka terbabi dalam kerajaan.
Warganet juga hairan bagaimana agensi kerajaan boleh ‘terlepas pandang’ hinggakan penyokong malah pemimpin pelapis Pas dijemput sebagai panel yang mempunyai ‘sejarah perkauman’ untuk memberikan ceramah.
Malah, mereka juga memetik nama Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dan mempersoal apa yang sedang dilakukan atau mungkin tidak lakukan. Pada mereka, golongan penyokong tegar Pas yang digelar ‘walaun’ yang masih berada di dalam kerajaan ibarat satu ‘deep state’ yang dibimbangi menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat dan Yang di-Pertuan Agong.
“Apalah masalah dia orang ini. Jemput muka-muka yang kita memang dah tahu mereka sebelahkan siapa. Tak ada panelis yang neutral ke?
“Banyak sangat walaun dalam kerajaan. (PN) 33 bulan (berkuasa) pun boleh serap ramai walaun, eh?” demikian antara deretan komentar pengguna Twitter.
Leave a Reply