BACHOK: Seorang ibu yang sedang dalam tempoh berpantang ditemukan mati selepas dipercayai menikam lehernya sendiri menggunakan sebilah pisau di dalam sebuah bilik di rumahnya di Kampung Beris Panchor di sini petang semalam.
Kejadian disedari adik bongsu wanita itu, Wan Muhamad Nasri Wan Mahadi, 23, kira-kira pukul 6 petang selepas mendapati kakaknya yang berusia 35 tahun mengunci pintu bilik dari dalam.
Wan Muhamad Nasri berkata, dia terus mengambil tangga untuk melihat kakaknya di dalam bilik itu sebelum terkejut apabila ternampak wanita tersebut sudah berada dalam keadaan berlumuran darah.
Menurutnya, dia tidak berfikir panjang dan terus memecahkan pintu bilik berkenaan sebelum melihat sebilah pisau terpacak pada lehernya.
“Ketika itu, ibu saya sedang mendukung anak kakak yang baru berusia 36 hari. Kami berdua terkejut apabila melihat keadaan kakak yang sudah berlumuran darah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Sementara itu, ibu mangsa, Zuraizah Mat, 58, memberitahu, dia sempat melihat mangsa mengambil pisau di dapur dan masuk ke dalam biliknya.
Katanya, sebelum kejadian, arwah dikatakan sedang berbual dengan suaminya yang bertugas di Kedah menerusi panggilan telefon.
“Selepas bercakap dengan suami, dia tiba-tiba senyap. Saya hairan dengan situasi itu sebelum meminta Wan Muhamad Nasri memeriksa keadaan kakaknya.
“Selepas pintu bilik dipecah, saya terus mencabut pisau sepanjang 16 sentimeter yang berada di lehernya sebelum menghubungi Klinik Kesihatan Beris di sini. Kebetulan pula, kereta peronda polis lalu di hadapan rumah ketika itu,”ujarnya.
Zuraizah berkata, arwah tidak mengalami sebarang masalah kesihatan selepas bersalin malah sempat membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin ketika ditemui di lokasi kejadian mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk proses bedah siasat.
Leave a Reply