Pemandu bas yang tular di media sosial sejak Jumaat lalu kerana dirakam menggunakan telefon bimbit ketika memandu didapati mempunyai 13 saman lampau, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Zailani Hashim.
Ia termasuk satu saman yang baharu dikeluarkan atas kesalahan memandu menggunakan telefon bimbit.
“Tindakan penggantungan lesen memandu boleh diambil terhadap pemandu tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Zailani berkata, pihaknya melalui Unit Pemeriksaan dan Kawalan Kenderaan Perdagangan (UPKKP), Bahagian Penguatkuasa JPJ Pulau Pinang telah mengambil tindakan segera dengan mengeluarkan notis saman terhadap pemandu bas berkenaan.
Katanya, pemandu terbabit telah melakukan kesalahan kerana menggunakan telefon bimbit, semasa memandu dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Ipoh dan membawa bas milik sebuah syarikat yang beroperasi di Butterworth, Pulau Pinang.
“JPJ ingin menegaskan bahawa tindakan memandu sambil menggunakan telefon bimbit merupakan kesalahan serius dan berbahaya yang boleh mendatangkan risiko kemalangan jalan raya,” katanya.
Zailani berkata, JPJ ingin menasihati kepada semua pemandu dan pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya.
“Syarikat juga perlu memantau rapi pemandu kenderaan masing-masing supaya lebih berhemah dan beretika ketika memandu, supaya perkara seperti ini tidak akan berulang lagi pada masa akan datang demi keselamatan penumpang bas ekspres dan pengguna jalan raya lain,” katanya.
Terdahulu, polis meminta seorang pemandu bas yang dirakam menggunakan telefon semasa memandu untuk tampil menyerah diri ke balai trafik daerah berhampiran atau mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) berkata, tindakan pemandu itu, dirakam dalam video berdurasi 21 saat yang tular di media sosial, bukan sahaja membahayakan penumpang bas, malah orang lain.
Leave a Reply