Bocor rahsia kerajaan punca Sanusi dilarang hadiri LIMA’23

Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendedahkan beliau telah dituduh membocorkan rahsia sulit yang menjadi punca mengapa beliau dilarang menghadiri majlis rasmi kerajaan Perpaduan dan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Langkawi (LIMA’23).

Muhammad Sanusi berkata, tuduhan itu dibuat berdasarkan ceramahnya di Sungai Besar, Selangor selepas menghadiri menyuarat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan semua MB dan Ketua Menteri di Parlimen.

Mengimbau semula tuduhan itu, Muhammad Sanusi berkata, sebelum itu satu mesyuarat dengan beberapa kementerian yang terlibat dengan LIMA’23 telah didadakan di Langkawi ketika dia menunaikan umrah.

“Ketika itu semua agensi dipanggil termasuk pejabat MB tetapi wakil saya tak dapat hadir kerana pergi menunaikan umrah bersama saya.

“Balik dari Mekah, Setiausaha Kerajaan Negeri hadir untuk mesyuarat kali kedua di Langkawi dan ketika itu minit mesyuarat pertama mengatakan beberapa keputusan mengenai program kementerian telah dibuat dan akan dirasmikan oleh MB Kedah,” katanya dalam satu video yang dimuat naik di Facebook.

Menurut Muhammad Sanusi, tidak lama kemudian seorang pegawai kanan kerajaan memberitahu minit terpaksa dipinda dan semua program yang sepatutnya dihadiri dan dirasmikan oleh beliau akan digantikan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Tambahnya, selepas diteliti, alasan yang diberikan ialah kerana beliau dikatakan telah membocorkan rahsia kerajaan.

“Apa rahsia itu? Ni saya nak bagitahu. Satu hari saya pergi mesyuarat di Parlimen bersama PM dan menteri di Parlimen. Mesyuarat itu sepatutnya dibuat di Putrajaya tetapi dipindahkan ke Parlimen kerana persidangan Dewan Rakyat sedang berlangsung di situ.

“Ia mesyuarat yang biasa dibuat sempena Mesyuarat Raja-Raja Melayu. Dalam mesyuarat itu dibincangkan mengenai agenda pembangunan negeri. Ada dua pembentangan iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Kewangan (MOF),” katanya.

Ujar Muhammad Sanusi, KPKT dibentangkan oleh pegawai tetapi MOF dibentangkan sendiri oleh menterinya kerana Ketua Setiausaha Perbendaharan belum dilantik ketika itu.

“Tetapi jadi lain kerana apa yang dibentang dan apa yang ditulis di dalam kertas yang diedarkan kepada semua tidak sama. Ia bukan jadi pembentangan tetapi syarahan.

“Saya mesej kawan saya dalam mesyuarat itu kata ini bukan pembentangan tapi syarahan,” katanya.

Dakwa Muhammad Sanusi, selepas itu, dia bergegas ke Sungai Besar untuk menyampaikan ceramah dan ketika itu dia telah memberitahu hadirin bahawa dia baru pulang daripada mesyuarat itu.

“Saya kata siapa yang bentang dan mengenai apa tetapi bukan isi yang ada di dalam kertas. Inilah tuduhan mengatakan saya telah membocorkan rahsia kerajaan.

“Siapa bentang dan mesyuarat itu bukan rahsia sebaliknya apa yang ditulis itu sebenarnya rahsia. Saya hanya bagitahu siapa yang bentang bukan apa yang dibentang,” tegasnya.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi berkata, beliau akan tetap memastikan LIMA’23 akan berjalan dengan lancar dan menjadi kenangan terindah sepanjang hayat mereka.

“Saya akan memastikan semua pihak memberikan komitmen 100 peratus untuk acara itu berjalan dengan sempurna dan lancar pada 23 hingga 27 Mei ini.

Katanya, Syarikat Air Darul Aman telah diarahkan untuk memastikan bekalan air bersih ke Langkawi dalam tempoh itu tidak terganggu walaupun akan menghadapi peningkatan penggunaan mendadak.

“Ia selaras dengan sabdaan Nabi SAW supaya orang beriman sentiasa memuliakan dan tidak menyakiti jirannya,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*