Apa rakyat dapat kalau PM masuk Kaabah, tanya Sany pada pembangkang

Dalam sesebuah lawatan rasmi pemimpin negara, kata Mohd Sany Hamzan, ada dua matlamat yang diharapkan rakyat dapat dicapai buat negara.

Pertama katanya rakyat berharap ada pelaburan yang dibawa masuk dari negara yang dilawati.

Melalui pelaburan tersebut kata ahli parlimen Hulu Langat itu negara boleh mendapat lebih banyak peluang pekerjaan.

Dalam lawatan rasmi Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini katanya matlamat tersebut dapat dicapai berdasarkan pertemuan yang berlangsung ketika itu.

“Perkara kedua yang diinginkan oleh negara dan rakyat jika pemimpin mengadakan lawatan di luar negara ialah berjaya membina hubungan baik dengan negara yang dilawati.

“Terbukti Anwar menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Hissein Brahim Taha dan rombongannya di Mekah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pertemuan tersebut kata Mohd Sany pelbagai isu dibincangkan termasuk mengenai kemelut di Palestin, situasi di Afghanistan, isu Islamophobia dan proses rundingan damai di selatan Thai serta Filipina.

“Justeru apa yang rakyat dan negara dapat kalau perdana menteri dibawa masuk Kaabah seperti dikehendaki oleh Wan Fayhsal?” katanya merujuk kepada Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Semalam pemimpin muda pembangkang itu menganggap lawatan rasmi Anwar ke Arab Saudi baru-baru ini sebagai gagal kerana tidak dapat bertemu dengan pemimpin utama negara terbabit.

Kata Wan Ahmad Fayhsal, lawatan Anwar tidak sama seperti layanan yang diberikan Riyadh kepada pemimpin PN, Muhyiddin Yassin serta Dr Mahathir Mohamad sewaktu mereka ke Arab Saudi sebagai perdana menteri.

Antara aspek yang disentuh ahli parlimen Machang itu ialah lawatan memasuki Kaabah kepada kedua-dua pemimpin terbabit.

“Dengan ketiadaan pertemuan dengan Putera Mahkota, perdana menteri turut gagal mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, iaitu menteri kewangan Arab Saudi,” katanya sambil menyoal sama ada objektif lawatan itu telah tercapai atau tidak.

Untuk rekod Wan Ahmad Fayhsal ialah pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Ahli Parlimen PN.

Menurut Mohd Sany ekoran tidak dapat menemui pemimpin utama Arab Saudi, Anwar sendiri sudah menyatakan rasa sedihnya apabila terpaksa pulang semula ke Malaysia mengikut jadual kerana terikat dengan majlis lain.

“Maka sepatutnya yang berdukacita bukan negara, rakyat atau pembangkang tetapi Anwar sendiri.

“Tugas untuk negara, rakyat dan termasuk pembangkang sudah berjaya diselesaikan oleh perdana menteri melalui kunjungan tersebut dengan terbaik sekali,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*