Dua lelaki warganegara berdepan 10 tahun penjara, denda dan sebat apabila didakwa atas pertuduhan memperdaya seorang mangsa dengan menawarkan bantuan untuk mendapatkan gelaran ‘Datuk Seri’ dengan bayaran tertentu di Mahkamah Majistret di sini semalam.
Bagaimanapun tertuduh, Rohaized Abd. Razak dan Shahferoz Khan Mohamed Ayub Khan mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Rohaized, 49, dan Shahferoz Khan, 35, didakwa memperdaya seorang lelaki berusia 58 tahun bagi menyerahkan wang berjumlah RM140,000 untuk mendapatkan gelaran tersebut dekat restoran dalam sebuah pusat beli-belah di Puchong.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada 10 November hingga 10 Disember tahun lalu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun penjara, denda dan sebat jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farah Sofea Norazman menawarkan kedua-dua tertuduh dikenakan ikat jamin masing-masing berjumlah RM15,000 dengan seorang penjamin.
Walau bagaimanapun, peguam kepada Rohaized, Hazwan Hassan memohon jaminan dikurangkan berikutan anak guamnya itu menanggung seorang isteri dan empat anak yang mana dua daripadanya masih belajar dan dua lagi masih kecil.
Sementara peguam kepada Shahferoz Khan, Datuk Seri Rajan Navaratnam turut membuat permohonan sama atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik kepada polis sepanjang siasatan kes tersebut.
Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali kemudian membenarkan masing-masing diikat RM9,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 23 Mei depan.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Polis Selangor menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan penjualan Darjah Kebesaran Negeri Selangor Darul Ehsan iaitu Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) palsu yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’ pada 15 dan 17 Mac lalu.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata penahanan mereka menerusi dua siri serbuan di sekitar Melaka dan Selangor itu adalah susulan satu laporan polis yang dibuat oleh seorang mangsa pada Februari lalu yang mengalami kerugian sebanyak RM140,000.
- Turut baca : Menjawab 5 serangan ‘fitnah’ terhadap PM Anwar
Leave a Reply