“Rakyat nak tahu…” KKM digesa dedahkan jumlah kerugian stok vaksin Covid-19 yang luput

Bekas pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Wong yang membahaskan belanjawan Kementerian Kesihatan hari ini meminta supaya kementerian itu mendedahkan jumlah kerugian yang ditanggung daripada stok hampir 2.8 juta dos vaksin Covid-19 yang tidak akan bertentangan dengan perjanjian menjaga kerahsiaan yang ditandatangani dengan pengeluar.

Wong (PH-Taiping) ketika sesi perbahasannya memetik jawapan bertulis KKM terhadap soalannya semalam yang mendedahkan sejumlah 2,796,638 juta dos vaksin Covid-19 daripada pelbagai jenama telah tamat tempoh dalam simpanan.

Dia berkata jawapan itu bagaimanapun memetik perjanjian menjaga kerahsiaan (NDA) yang ditandatangani sebagai alasan untuk tidak mendedahkan secara terperinci termasuk jumlah kerugian yang ditanggung dan kos setiap vaksin.

“Di sini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan kepada pihak menteri bahawa saya berasa terkilan dengan jawapan yang diberikan kerana setiap kali apabila kita sentuh berkenaan dengan harga vaksin ataupun perolehan vaksin tentulah jawapan yang kita dapat adalah berkenaan dengan NDA.

“(Ia) terlalu digunakan sebagai satu shield untuk pihak kementerian – untuk melindungi pihak kementerian daripada memberikan satu angka yang sebenarnya,” katanya di Dewan Rakyat.

Wong yang menyandang jawatan pengerusi PAC pada Jan 2021 berkata ketika dia meneliti NDA tersebut sewaktu itu bahawa NDA hanya menghalang kerajaan daripada mendedahkan harga jualan bagi setiap dos vaksin Covid-19.

“Sekiranya, kita “lump sum”kan kesemua pelbagai jenama dose vaksin – itu tidak akan menjejaskan apa yang terkandung dalam NDA,” katanya yang menggesa supaya Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa menjawab soalannya.

Bagaimanapun, ketika sesi penggulungan, Zaliha tidak sempat untuk menjawab soalan tersebut memandangkan kesuntukan masa.

Katanya, dia akanmemberikan maklum balas melalui jawapan bertulis bagi soalan-soalan yang tidak sempat dijawab.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*