Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan ahli jawatankuasa masjid dan surau di negeri ini akan dipecat, jika membenarkan penceramah tanpa tauliah memberikan ceramah di Johor.
Baginda mengingatkan mana-mana penceramah yang hendak menyampaikan ceramah di negeri perlu memiliki tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Titah baginda, semua ahli jawatankuasa masjid dan surau yang hendak menganjurkan ceramah agama wajib mendapatkan kebenaran daripada MAINJ melalui Pejabat Kadi Daerah.
Selain itu, mereka perlu menyatakan secara terperinci tajuk ceramah serta perkara yang ingin disampaikan.
“Sekiranya ada mana-mana masjid dan surau yang gagal patuhi peraturan ini, maka semua ahli jawatankuasa masjid dan surau itu akan diambil tindakan dan dipecat.
“Tindakan ini bukanlah untuk menghalang program penyebaran ilmu Islam tetapi adalah untuk kawal penyebaran fahaman yang menyeleweng dan terpesong daripada hukum syarak yang berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri ini,” titahnya.
Sultan Ibrahim bertitah demikian semasa merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini pada Khamis.
Sultan Ibrahim bertitah, keadaan itu juga untuk mengawal golongan pelampau agama yang boleh mencetuskan kekeliruan kepada umat Islam dan golongan muda yang kurang berilmu.
Leave a Reply