Kantoi! Rupa-rupanya hanya seorang wakil rakyat Terengganu ada tauliah ceramah

Selepas Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) membuat larangan kepada ahli politik daripada memberi ceramah, rupanya ada seorang wakil rakyat di sana mempunyai tauliah itu.

Larangan tersebut tidak membenarkan ahli politik tanpa tauliah daripada berceramah atau memberi kuliah sama ada di masjid atau surau negeri terbabit.

Namun MAIDAM membenarkan seorang wakil rakyat Terengganu atas kapasitinya sebagai exco yang bertanggungjawab bagi portfolio agama.

Yang Dipertua Maidam Shaikh Harun Shaikh Ismail memaklumkan wakil rakyat yang memiliki tauliah daripada badan agama berkenaan ialah Mohd Nor Hamzah.

Adun Bukit Payung itu adalah exco pembangunan insan, dakwah dan penerangan Terengganu. Dengan tauliah yang ada dia boleh memberi ceramah atau kuliah di negeri berkenaan.

Menurut Shaikh Harun selain daripada Mohd Nor, tiada mana-mana Adun, ahli parlimen atau senator dari Terengganu yang memiliki tauliah daripada Maidam.

“Tauliah yang dimiliki Mohd Nor itu diberikan atas kapasiti exco kerajaan negeri yang menjaga hal ehwal agama,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.

Bagaimanapun dapat dilihat, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang masih meneruskan kegiatan kuliahnya di Masjid Rusila, Marang walaupun larangan telah dikeluarkan.

Pihak berkuasa Terengganu dikatakan terbuka untuk terima permohonan bagi yang berminat untuk dapatkan tauliah dan akan dipanggil untuk sesi temu duga oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

Menurut Shaikh Harun jawatankuasa penilai itu akan dipengerusikan Mufti Terengganu, Dr Mohamad Sabri Haron.

“Bagaimanapun sebelum ini tidak terdapat ahli politik yang memohon mendapatkan tauliah tersebut secara rasmi,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*