Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan siasatan sewajarnya berhubung isu ketirisan subsidi diesel hampir RM10 bilion.
Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata tindakan itu perlu dibuat sekiranya siasatan dalaman dijalankan pihaknya mendapati terdapat kesalahan yang bertentangan dengan undang-undang telah berlaku sebelum ini.
“Biasanya, kementerian akan melakukan siasatan dalaman terlebih dahulu kerana kita ada unit yang membuat audit dan siasatan.
“Namun, sekiranya isu itu serius dan kita temui pelanggaran undang-undang, kita tidak keberatan menyerahkan kes kepada polis atau SPRM.
“Kita akan beri kerjasama bagi memastikan ketirisan dapat diminimumkan, kerana kita tidak mahu dalam pembentangan bajet akan datang atau dalam mana-mana laporan, ketirisan subsidi diesel ini masih lagi menjadi isu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Usahawan Muda 2023 (PUM23) di Politeknik Ibrahim Sultan di Pasir Gudang hari ini.
Beliau berkata KPDN akan bekerjasama dengan agensi dan kementerian lain termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang berperanan menyalur dan mengawal subsidi diesel kepada nelayan.
Semalam, Salahuddin dilapor berkata KPDN telah menubuhkan pasukan bertindak khas yang diketuai Ketua Setiausahanya Datuk Azman Mohd Yusof bagi menangani isu ketirisan subsidi diesel itu.
Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 memaklumkan wujud ketirisan dalam subsidi diesel dengan anggaran hampir RM10 bilion nilai subsidi diesel dipercayai diseleweng tahun lepas.
Mengalas inisiatif Rahmah, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai memaklumkan pelaksanaan program yang dijayakan KPDN itu tidak melibatkan sebarang dana awam, sebaliknya atas sokongan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat yang mahu menangani kos sara hidup secara kolektif.
Katanya malah KPDN akan terus mengkaji pelbagai mekanisme yang boleh dilakukan dalam menangani kos sara hidup untuk jangka masa panjang termasuk dengan menjalin kerjasama bersama agensi dan kementerian lain.
“Sejujurnya saya masih belum berpuas hati dengan kerja yang dilakukan, jadi saya akan terus mempertingkat usaha agar inisiatif Rahmah ini boleh berkekalan, barangan terkawal serta meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Salahuddin berkata PUM23 yang disertai 600 pelajar bidang teknikal itu bertujuan menggalakkan pelajar menceburi bidang keusahawanan yang berkaitan dengan pendidikan mereka bagi mengelakkan berlakunya kehilangan tenaga mahir bidang teknikal apabila mereka menjadikan keusahawanan sebagai karier pilihan.
Leave a Reply