Konti radio jadi talian hayat politik KJ

Penganalisis politik berpandangan bekas menteri Khairy Jamaluddin cuba mengekalkan popularitinya di kalangan masyarakat dengan menjadi penyampai radio selepas dipecat Umno pada bulan lalu.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM), berkata bukan rahsia bekas ketua Pemuda Umno itu bercita-cita menjadi perdana menteri namun pemecatannya daripada parti menjejaskan perancangannya.

Sehubungan itu, menurut Fauzi, Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ memilih platform radio untuk menyuarakan pandangannya yang sentiasa dinantikan ramai tanpa perlu menyertai mana-mana parti.

“Lebih-lebih lagi (pandangan) bernada kritis terhadap pemerintah,” katanya kepada FMT.

Khairy yang dipecat Umno pada 27 Jan lalu akan memulakan tugas sebagai penyampai di stesen radio Hot FM mulai Rabu ini. Beliau bakal bersiaran dalam segmen “Bekpes Hot” dari jam 6 pagi hingga 10 pagi.

Mengulas lanjut, Fauzi tidak melihat tindakan Khairy itu sebagai gimik sebaliknya strategi jangka panjang bagi mencapai cita-cita politik bekas menteri kesihatan itu untuk menjadi perdana menteri.

“Ia bukan sebuah gimik. Harus diingat, Anwar Ibrahim (perdana menteri kesepuluh) mengambil masa hampir 25 tahun selepas dipecat untuk mencapai cita-citanya.

“Bagi KJ, ia satu strategi jangka panjang ke arah merealisasikan cita-cita politiknya,” katanya.

Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) pula berpandangan pembabitan Khairy sebagai DJ Hot FM mungkin untuk memposisi kedudukannya di kalangan orang muda selepas karier politiknya dalam Umno ditamatkan.

“Ini satu perkembangan positif kerana pembabitan KJ di radio boleh memberi pencerahan kepada anak muda dan pengundi di atas pagar,” katanya.

Dalam nada berbeza, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata beliau melihat taktik Khairy menjadi penyampai radio sebagai publisiti semata-mata dan tidak akan memberi kesan kepada kerjaya politiknya jika hanya “bekerja” pada jangka pendek.

“Kalau dia menjadi DJ secara tetap atau dalam jangka 6 bulan ke setahun, itu mungkin ada kesannya,” katanya.

Turut baca : Mahkamah tolak bantahan Hadi terhadap petisyen calon BN

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*