Mahkamah Pilihan Raya Terengganu hari ini menolak bantahan awal Ahli Parlimen Marang Abdul Hadi Awang bagi menolak petisyen pilihan raya difailkan calon Barisan Nasional (BN) Jasmira Othman untuk membatalkan kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pada prosiding secara dalam talian hari ini, Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani mendengar hujahan daripada Wan Rohimi Wan Daud yang mewakili Abdul Hadi dan peguam Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Jasmira sebagai pempetisyen.
Selain itu, Abdul Hadi turut diwakili peguam Saifuddin Othman, manakala Jasmira diwakili Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, Norhazira Abu Haiyan dan Muhammad Amin Othman.
Hakim Hassan turut memerintahkan Abdul Hadi membayar kos RM20,000 kepada Jasmira dan menetapkan perbicaraan petisyen tersebut pada 6 Mac ini.
Pada 3 Jan lepas, UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Marang di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Pengerusi UMNO Terengganu Ahmad Said dilapor berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 Nov lepas iaitu beberapa hari sebelum PRU15, melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.
Pada PRU15 lepas, Abdul Hadi memenangi kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi menewaskan Jasmira, calon Pakatan Harapan (PH) Azhar Ab Shukur dan calon Pejuang Dr Zarawi Sulong.
Leave a Reply