Jangka kemelut dalam kerajaan, DAP anggap PAS ‘meludah ke langit’

Ibarat mengata dulang paku serpih – itu bidalan yang dibuat seorang pemimpin DAP terhadap PAS ekoran jangkaan pemimpinnya parti dalam kerajaan bakal berdepan dengan kemelut tidak lama lagi.

Anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP Sheikh Umar Bagharib Ali berkata PAS sepatutnya sedar sendiri bahawa parti mereka sendiri tidak lekang daripada konflik.

Katanya kenyataan dibuat Mohd Amar Abdullah seolah-olah meludah ke langit, justeru Naib Presiden PAS itu wajar mencermin diri dan bermuhasabah.

Apabila PAS bersama Semangat 46 membentuk Barisan Alternatif puluhan tahun dulu, katanya, gabungan terbabit mengalami masalah dan berulang pula dalam Pakatan Rakyat.

“Dalam sejarah terdekat pun PAS tidak dapat mengelak konflik khususnya selepas ketiadaan Almarhum Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Pada waktu itu, konflik PAS ialah sama ada mahu meneruskan kerjasama dalam Pakatan Rakyat atau memilih bersama Umno dalam langkah disebut-sebut sebagai UG (unity government).

“Akibat pemimpin PAS tidak dapat mengurus konflik itu dengan cermat, lahirlah Parti Amanah Negara. Amanah mengekalkan pendirian mengukuhkan pakatan pembangkang lalu memasuki pilihanraya ke-14 bersama Pakatan Harapan,” katanya hari ini.

Mampu diuruskan dengan baik

Mohd Amar berkata, PAS menjangkakan kerjasama dijalin parti-parti dalam kerajaan bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi bakal berdepan dengan masalah.

Katanya andaian itu dibuat – antara lain – berdasarkan pengalaman PAS bersama-sama Umno membentuk Muafakat Nasional yang kemudian menyebabkan mereka berdepan dengan konflik.

Pun begitu timbalan menteri besar Kelantan itu mengakui kerjasama yang terjalin di antara PH, BN dan parti lain itu akan memberi cabaran besar kepada PAS dan PN untuk mengekalkan penguasaan mereka di beberapa negeri.

Sheikh Umar berkata semasa menghadapi PRU ke-15 lalu pun PAS mengalami konflik dalaman apabila sesetengah pihak mahu parti itu terus bersama Umno, sedangkan kumpulan lain cenderung kekal bersama Bersatu dalam PN.

Kata naib pengerusi DAP Johor itu lagi konflik tidak perlu dijangka-jangka kerana secara fitrah ia akan berlaku dari semasa ke semasa, terutama dalam suasana politik semasa yang kian rencam.

Persoalannya ialah, bagaimana kita menguruskan konflik tersebut? Di situlah terletaknya peranan kepimpinan dan kepemimpinan.

“Saya cukup yakin, dengan barisan kepimpinan serta kekuatan setiap parti dalam kerajaan, segala konflik yang timbul akan dapat diuruskan dengan berhemah serta bijaksana,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*