Mengapa tak laksana reformasi SPRM ketika berkuasa, Hamzah dipersoal

Ahli Parlimen penyokong kerajaan mengecam Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin kerana mendakwa Putrajaya menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai alat politik.

Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran berkata, Hamzah seolah-olah “sengaja terlepas pandang” isu dakwaan campur tangan eksekutif dalam agensi penguatkuasaan ketika menjadi menteri dalam negeri.

Katanya, sekiranya Hamzah merasakan SPRM dan agensi lain terdedah kepada campur tangan, beliau sepatutnya mendesak kerajaan sebelum ini melakukan reformasi untuk memastikan kebebasan badan itu bertindak.

“Kegagalan kerajaan sebelum ini (melaksanakan reformasi terhadap agensi itu) perlu diperjelas (oleh pemimpin pembangkang),” katanya kepada FMT.

Pada Rabu, setiausaha agung Bersatu itu mendakwa kerajaan menggunakan SPRM sebagai alat politik susulan pembekuan akaun partinya mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla)

Difahamkan, pembekuan akaun Bersatu itu mempunyai kaitan dengan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan berbilion ringgit untuk pakej rangsangan Covid-19.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan beliau mengarahkan SPRM membekukan akaun Bersatu, sambil menegaskan agensi itu bebas bertindak.

Kula berkata, Hamzah boleh memfailkan usul membahaskan kebebasan SPRM di Parlimen ketika Dewan Rakyat kembali bersidang pada 13 Feb.

Katanya lagi, sudah tiba masa SPRM diletakkan bawah Parlimen untuk menjamin kebebasannya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim turut menggesa agar Parlimen memantau SPRM.

Bagaimanapun, katanya, Parlimen terlebih dahulu perlu bebas daripada kawalan Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Pada masa ini, pengurusan hal ehwal Parlimen berada bawah bidang kuasa JPM.

“Parlimen tidak sepatutnya wujud sebagai satu bentuk agensi kerajaan bawah JPM,” katanya kepada FMT.

Beliau mahu kerajaan memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen agar pelaksanaan reformasi terhadap institusi itu dapat disegerakan.

Akta berkenaan, yang digubal pertama kali pada 1963, membolehkan Parlimen bertindak sebagai badan yang bebas menjalankan hal ehwalnya sendiri, memilih kakitangan, dan mengawal perbelanjaannya. Bagaimanapun, akta tersebut dimansuhkan pada 1992, ketika Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri kali pertama.

Tahun lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menentang agensi itu diletakkan bawah pemantauan Parlimen dengan mendakwa ia mungkin akan hilang kebebasan menjalankan tugasnya kerana terpaksa menerima arahan daripada ahli politik.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*