Bertopengkan aktiviti kerja amal bagi mengaburi kegiatan selain mengelak aktiviti haram mereka dikesan pihak polis.
Itu antara pendekatan serta taktik licik dilakukan kumpulan kongsi gelap yang berselindung di sebalik kegiatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar.
Malah melalui NGO yang ditubuhkan secara sah itu, mereka berpura-pura menjalankan aktiviti yang dibenarkan di sisi undang-undang termasuk membuat kerja amal, menyalurkan bantuan dan membantu masyarakat.
Bagaimanapun, apa yang ditunjukkan mereka itu hanyalah ‘wayang’ bagi mengelak kegiatan sebenar mereka yang terbabit dalam kegiatan jenayah peras ugut dan pelbagai aktiviti haram lain dikesan pihak berkuasa.
Walaupun bergerak melalui NGO yang sah, kumpulan kongsi gelap ini aktif menjalankan perniagaan haram lain antaranya perjudian, dadah, pusat hiburan dan sebagainya.
Duit haram yang diperoleh daripada semua aktiviti jenayah itu akan ‘dicuci’ menggunakan NGO ditubuhkan itu bagi menunjukkan seolah-olah wang diperoleh melalui saluran yang sah.
Mendedahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, kegiatan kongsi gelap ketika ini tidak jauh bezanya berbanding beberapa dekad lalu namun gemar berselindung di sebalik nama pelbagai NGO.
Menurutnya, ahli kumpulan itu akan melakukan kerja amal melalui NGO bagi menampilkan imej baik di mata masyarakat.
“Ia tidak bermakna mereka sudah berhenti melakukan kegiatan jenayah. Sebaliknya itu hanyalah ‘topeng’ untuk melancarkan kegiatan.
“Kita ada senarai NGO yang ditubuhkan ini. Di belakangnya adalah kumpulan kongsi gelap yang sama dan diharamkan.
“Setakat sebanyak 72 kumpulan kongsi gelap diwartakan sebagai pertubuhan haram dan tindakan tegas pembanterasan aktiviti kumpulan kongsi gelap oleh PDRM khususnya pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) dipergiatkan melalui Op Cantas,” katanya.
Menurutnya, tekanan diberikan polis itu menyebabkan ada kumpulan kongsi gelap ini cuba menghalalkan aktiviti dilakukan melalui pertubuhan berdaftar.
Abd Jalil menegaskan, kumpulan kongsi gelap yang masih meneruskan aktiviti menggunakan pelbagai nama NGO akan sentiasa dipantau rapi PDRM.
“Polis tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas pertubuhan berkenaan selari dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
“PDRM tidak akan kompromi dengan kegiatan kumpulan kongsi gelap serta kesalahan jenayah dilakukan oleh kumpulan kongsi gelap berselindung di belakang pertubuhan bukan kerajaan.
“Tindakan pencegahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) boleh diambil selain Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah langkah Khas) 2012 (Sosma) terhadap mereka yang melakukan jenayah terancang,” katanya.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani baru-baru ini menegaskan pihaknya memandang serius dan tidak akan bertolak ansur dengan kegiatan pertubuhan haram yang turut disertai pegawai dan anggotanya seperti berlaku di Dungun, Terengganu.
Dalam operasi khas awal Januari lalu, seramai 21 individu termasuk dua pegawai kanan polis serta 12 anggota pangkat rendah diberkas kerana menyertai pertubuhan haram.
Pertubuhan haram Ayahanda Harimau Kumbang itu dikesan menjadi orang tengah untuk mengutip hutang ah long dan aktiviti menarik kereta.
9,042 anggotai 72 kumpulan kongsi gelap
Bukan sedikit bilangannya apabila sebanyak 72 kumpulan kongsi gelap dikesan wujud dan diwartakan sebagai pertubuhan haram di negara ini.
Kewujudan kumpulan kongsi gelap itu turut membimbangkan apabila seramai 9,042 menyertai pertubuhan haram terdiri ahli berbangsa Melayu, Cina, India, pribumi Sabah dan Sarawak.
Berdasarkan data statistik dikumpulan Polis Diraja Malaysia (PDRM), bilangan individu berbangsa Melayu yang menyertainya adalah seramai 3,113 orang. Ini diikuti 4,143 individu berbangsa Cina, 1,513 individu berbangsa India dan 273 individu berasal dari Sabah dan Sarawak.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, semua kumpulan itu diwartakan pertubuhan menyalahi undang-undang (pertubuhan haram) mengikut Sub Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966 oleh Menteri Dalam Negeri.
Menurutnya, ia membabitkan sebanyak 49 kumpulan kongsi gelap yang diwartakan pada 28 Ogos tahun 2013 dan sebanyak 23 lagi kumpulan kongsi gelap diwartakan haram pada 16 Februari tahun 2015.
Menurutnya, kumpulan kongsi gelap di Malaysia membabitkan geng kongsi gelap Melayu, kumpulan kongsi gelap Cina, kumpulan kongsi gelap India serta kumpulan kongsi gelap pribumi sabah atau Sarawak (thug geng).
“Berdasarkan data statistik dikumpulan Polis Diraja Malaysia (PDRM), bilangan individu berbangsa Melayu yang menyertainya adalah seramai 33,113 orang. Ini diikuti 394,143 individu berbangsa Cina, 91,513 individu berbangsa India dan 21,273 individu berasal dari Sabah dan Sarawak.
“Bagi tempoh 2018 hingga November 2022, seramai 2,443 individu ditangkap di bawah kesalahan Akta Pertubuhan 1966 kerana menjadi ahli kumpulan kongsi gelap atau menganggotai kumpulan kongsi gelap,” katanya eksklusif kepada Harian Metro.
Abd Jalil berkata, kesalahan dilakukan ahli kumpulan itu adalah pemilikan tanda atau logo kumpulan kongsi gelap, melakukan upacara angkat sumpah kongsi gelap, memiliki tatu atau lambang kongsi gelap dan mempamerkan papan tanda yang mempunyai simbolik kumpulan kongsi gelap.
“Sementara bagi tempoh 2018 hingga Ogos 2022, seramai 279 ahli kongsi gelap diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) kerana melakukan pelbagai kesalahan jenayah kekerasan seperti pemerasan, ugutan, pergaduhan, dan lain-lain.
“Bagi tempoh 2018 hingga November 2022 pula, seramai 285 ahli kongsi gelap diambil tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana menjalankan aktiviti kesalahan jenayah terancang,” katanya.
Leave a Reply