KJ ‘dipinang’ TMJ selepas dipecat UMNO

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) memberi bayangan bekas menteri belia dan sukan, Khairy Jamaluddin mungkin akan menabur bakti di bumi Johor.

Dalam satu hantaran di Instagram, Tunku Ismail memuat naik gambar baginda bersama Khairy dan berkata “Bakal CEO JDTFC dan penasihat belia Johor.”

Khairy kemudiannya membalas hantaran itu dengan berkata “satu pintu ditutup, pintu lain akan terbuka”.

“Rezeki ditangan Allah,” katanya.

Bekas ketua Pemuda Umno itu dan bekas ketua Umno Selangor Noh Omar dipecat daripada Umno selepas Majlis Kerja Tertinggi mendapati mereka melanggar disiplin parti semasa PRU15.

Khairy dan Noh sebelum ini menggesa Ahmad Zahid meletak jawatan sebagai presiden parti berikutan prestasi buruk Umno dan Barisan Nasional pada PRU15.

Turut dikenakan tindakan adalah bekas naib presiden, Hishammuddin Hussein; bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif; dan pemimpin Umno Tebrau, Maulizan Bujang yang digantung keahlian selama enam tahun.

Terdahulu, Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau tidak bersetuju dengan ketetapan parti itu kerana terdapat kecacatan nyata dalam proses membuat keputusan.

Menurut bekas perdana menteri itu, keputusan tersebut juga tidak mematuhi proses perundangan dan bertentangan dengan konsep ‘natural justice’ seperti hak membela diri.

Turut baca : Reaksi tindakan biadab Paludan : Anwar arah cetak sejuta al-Quran, edar seluruh dunia

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*