Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan penglibatan dan penggunaan jawatan Pemangku Ketua Polis Selangor dalam satu hantaran e-mel dalam skim penipuan peraduan yang menawarkan hadiah wang tunai RM270,000.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi berkata ia susulan pihaknya telah mengesan penularan hantaran yang mendakwa pihak polis bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan peraduan menggunakan nama Telekom Malaysia serta Maybank Berhad.
“Ekoran itu, polis menegaskan bahawa kandungan yang tular tersebut adalah satu bentuk penipuan dengan menyamar dan menggunakan nama (saya) bagi memperdaya orang ramai agar mempercayai (kewujudan) skim tersebut.
“Siasatan akan dijalankan ke atas individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai Pemangku Ketua Polis Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sasikala Devi turut menasihatkan orang awam agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sebarang taktik penipuan masa kini.
Leave a Reply