Pemandu bas kantoi layan ganja

Gejala memandu bas di bawah pengaruh dadah adalah antara kesalahan dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka dalam Operasi Penguatkuasaan sempena Tahun Baharu Cina 2023, di sini, malam tadi.

Dalam operasi bersepadu bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka itu, seorang pemandu dikesan gagal ujian saringan air kencing selepas didapati positif dadah jenis ganja.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, walaupun bilangan kes berkaitan dadah adalah kecil dalam kalangan pemandu bas, namun pihaknya memandang serius gejala itu kerana ia membahayakan keselamatan penumpang.

Sepanjang operasi selama tiga hari yang berakhir semalam, sebanyak 238 bas diperiksa dan dua lagi kesalahan turut dikesan serta diambil tindakan.

“Kesalahan pertama membabitkan bas ekspres dikesan pada 18 Januari lalu apabila mendapati bas terbabit tidak mempunyai peti ubat kecemasan dan pemadam api.

“Kesalahan kedua pula dikesan daripada hasil penyamaran dilakukan anggota JPJ pada 19 Januari lalu, dengan menaiki bas dari Alor Setar, Kedah ke Melaka yang mendapati bas terbabit tiada pemandu kedua,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan pemeriksaan penguatkuasaan di Terminal Bas Melaka Sentral, malam tadi.

Menurut Muhammad Firdaus, selain pemeriksaan di terminal bas, pihaknya turut melakukan rondaan dan pemeriksaan secara rawak di lebuh raya serta jalan utama terutama di 12 kawasan ‘hotspot’ yang sering berlaku kemalangan.

“Lokasi hotspot yang dikenal pasti adalah di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Jalan Mufti Haji Kalil, Jalan Batang Tiga/Bukit Rambai/Tanjung Minyak, Jalan Masjid Tanah, Jalan Tehel-Bemban dan Jalan Serkam .

“Enam lagi kawasan ialah di Jalan Umbai, Jalan Sungai Udang, Jalan Rembia-Kendong, Jalan Lubuk Cina-Hutan Percha, Jalan Merlimau Jasin dan Jalan Gapam-Bemban,” ujarnya.

258 motosikal turut diperiksa sepanjang operasi tiga hari itu
dan 69 motosikal dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan manakala lima buah motosikal disita.

Turut baca :

Pemandu bas kantoi layan ganja

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*