{VIDEO} Ibu muda bunuh anak 18 bulan diheret ke mahkamah

Seorang ibu muda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bayi kandung lelakinya minggu lalu.

Umishahirah Khalid, 20, yang memakai pakaian lokap berwarna ungu mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman yang bertindak sebagai Majistret.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan niat menyebabkan kematian bayi lelakinya yang berusia setahun enam bulan di sebuah unit kondominium di Jalan Teknokrat 7, Cyber 5, Cyberjaya antara pukul 5.52 petang hingga 11.30 pagi pada 11 dan 12 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi manakala tertuduh diwakili peguam, Johan Radzi yang menggantikan peguam utama, Farhana Abdul Halim.

Nur Sabrina membuat permohonan kepada mahkamah di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah supaya tertuduh seorang kerani swasta dirujuk ke hospital bagi pemeriksaan dan pemantauan mental.

Nur Sabrina juga mencadangkan kepada mahkamah untuk menetapkan satu tarikh bagi serahan laporan psikiatri, forensik dan kimia.

Ahmad Fuad kemudiannya menetapkan 20 Mac depan sebagai tarikh serahan dokumen.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*