“Nak sebut pun rasa malu…” Kenali lima nama pulau ‘meresahkan’ di Malaysia.
Musim cuti sekolah menjelang lagi. Buat yang masih tercari-cari tempat sesuai untuk melancong bersama keluarga atau rakan-rakan, mungkin boleh cuba melawati lima pulau ini.
Namanya mungkin jarang didengar, namun cuba kita lihat betapa indahnya pemandangan di sekitar kawasan-kawasan tersebut sehingga ada yang berandaian bahawa ia di luar negara, tetapi sebenarnya kelima-lima destinasi ni dalam Malaysia juga!
Lima pulau tercantik di Malaysia
1. Pulau Pom Pom, Semporna
Semporna adalah salah satu destinasi tercantik di dalam Malaysia.
Bukan sahaja kaya dengan flora dan fauna, tetapi juga memiliki persekitaran bersih serta mempunyai kualiti air yang bersih di kebanyakan pulau dan pantainya.
Antara aktiviti terkenal di sana seperti ‘snorkeling’, berenang, berkayak dan tak lupa juga melihat anak penyu dilepaskan pada sebelah petang.
2. Pulau Babi Besar, Mersing
Pulau Babi Besar atau sekarang dikenali sebagai Pulau Besar terletak di Mersing, Johor.
Untuk ke sana, pengunjung perlu menaiki bot di Jeti Mersing dengan anggaran perjalanan 30 minit.
Namanya mungkin kedengaran agak kasar, tetapi apa yang penting pulau ini sememangnya menjadi tumpuan kerana kecantikan alamnya yang tersendiri.
3. Pulau Konet, Melaka
Sepertimana ‘gerun’ nama pulaunya, begitu jugalah lokasinya yang mana, dahulu pernah digemparkan dengan kisah perkampungan bunian.
Ia terletak antara Pengkalan Balak dan Kuala Sungai Baru, dan sehingga kini ia masih menjadi tumpuan orang ramai.
4. Pulau Kentut Kecil dan Besar, Kedah
Bercerita sedikit tentang asal usul nama tempat ini, menurut sumber penduduk mendapat nama pulau itu dari perkahwinan lagenda antara anak perempuan Mat Chinchang dan anak lelaki Mat Raya.
Semasa makan beradab, pengantin lelaki tiba-tiba terkentut. Memandangkan makanan yang dihidangkan pada hari itu disediakan oleh pengantin perempuan, maka mereka berkecil hati sehingga tercetusnya pergaduhan antara dua keluarga.
Disebabkan itu, pulau tersebut menjadi huru-haru dan nama itu melekat sehingga ke hari ini.
Berbalik pada perjalanan tadi, untuk sampai ke pulau ini, anda perlu menyewa bot.
5. Pulau Susu Dara, Terengganu
Terengganu merupakan antara negara yang memiliki banyak pulau dengan keindahannya yang menakjubkan.
Namun, antara pulaunya tergolong dalam kategori ini kerana memiliki nama yang pelik iaitu Pulau Susu Dara.
Ia terletak tidak jauh dengan Pulau Perhentian, yang mana pantainya mempunyai pasir yang cantik hingga kita terasa nak baring seperti di atas tilam.
Bukan itu sahaja, air lautnya yang cukup jernih juga memperlihatkan kepada kita akan kepelbagaian hidupan laut tanpa perlu menyelam!
Leave a Reply