Pasangan suami isteri yang disyaki dalang sindiket pengedaran dadah di sekitar negeri ini berjaya diberkas dalam serbuan di Taman Aman, Senai, Kulai Sabtu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pasangan berusia 34 dan 30 tahun itu diberkas pada pukul 6 petang.
Susulan tangkapan itu, pihak polis melakukan tiga serbuan lain di sekitar Taman Pulai Perdana, Iskandar Puteri dan Kulai dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM362,022.30.
Dalam empat serbuan itu, seramai 13 suspek berusia antara 24 hingga 55 tahun termasuk sepasang suami isteri diberkas disyaki menjadi dalang kegiatan sindiket pengedaran dadah terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata, antara dadah yang dirampas ialah 74.85 kilogram (kg) ketulan mampat dadah jenis ganja, heroin (9.29kg), ketamin (171 gram) serta 1,643 biji pil ekstasi.
Modus operandi yang digunakan sindiket itu dengan menjadi rumah teres serta kereta sebagai stor simpanan atau transit dadah yang disyaki diseludup dari utara tanah air sebelum diedarkan ke pasaran tempatan selain dieksport ke negara jiran berdekatan.
Menurutnya, sindiket itu juga disyaki menjalankan kegiatan haram itu sejak Oktober tahun lalu.
“Selain dadah, pihak polis turut menyita tujuh buah kereta pelbagai jenama termasuk BMW, Honda, Volkswagen dan barang kemas,” katanya.
Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari hingga 14 Januari ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Leave a Reply