Bapa ‘durjana’ rogol anak bongsu tiga tahun didakwa

Seorang lelaki warganegara India dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dua pertuduhan merogol dan meliwat anak bongsunya yang berusia tiga tahun 11 bulan pada Disember lalu.

Bagaimanapun, bapa kepada lima anak yang berusia 45 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim, Siti Noraida Sulaiman.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa di dalam bilik air kediaman mereka di Taman Bukit Mewah, Tampoi pada 13 Disember lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap mangsa di lokasi dan pada tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun beserta tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun beserta sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir dalam hujahnya meminta supaya tertuduh tidak diberikan sebarang jaminan kerana kesalahan tersebut merupakan kesalahan berat serta tertuduh dan mangsa masih tinggal di kediaman yang sama.

“Saya meminta mahkamah tidak memberikan sebarang jaminan keranan bimbang tertuduh akan berhubung atau berkomunikasi dengan mangsa kerana mereka tinggal di kediaman sama, iaitu lokasi kejadian,” katanya.

Mahkamah kemudian tidak memberikan jaminan dan menetapkan 12 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen, pengurusan kes serta lantikan peguam.

Difahamkan, tertuduh yang merupakan seorang penganggur melakukan perbuatan keji itu semasa isterinya yang merupakan seorang rakyat tempatan keluar bekerja di Singapura.

Ketika kejadian berlaku, tertuduh tinggal bersama-sama mangsa dan dua anak yang lain, manakala dua lagi bersekolah.

Laporan polis tentang kejadian tersebut dibuat oleh ibu mangsa sebelum tertuduh ditahan pada pukul 11 malam, 28 Disember lalu di kediaman mereka.

Suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan memasuki negara ini secara sah menggunakan pas lawatan sosial.

Bapa 'durjana' rogol anak bongsu tiga tahun didakwa

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*