Jangan ulangi ‘Langkah Sheraton’ – Salahuddin

Semua pihak diminta menghormati kerjasama Kerajaan Perpaduan dan tidak melakukan sebarang langkah politik yang boleh menggugat kestabilan semasa.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berharap, semua pihak dapat menyokong pentadbiran Kerajaan Persekutuan sehingga tamat tempoh penggal lima tahun.

Sekiranya rakyat masih tidak berpuas hati dengan pentadbiran Kerajaan Perpaduan, mereka boleh membuat keputusan untuk menukar kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Beri kami peluang perintah negara selama sepenggal, jangan ada usaha yang kotor, jangan ada usaha yang jijik, tidak bermoral dan jangan ada usaha biadap, biar kami perintah Malaysia satu penggal.

“Kalau sudah satu penggal dan kami tidak ‘perform’, rakyat boleh pilih semula, tidak mengapa, tetapi jangan ambil langkah syaitan (Sheraton) lagi di tengah jalan,” katanya pada Majlis Jamuan Kenduri Rakyat Petugas Parlimen P161 Pulai, di sini malam tadi.

Lebih 1,000 petugas Pakatan Harapan (PH) yang terlibat sepanjang tempoh berkempen bagi Parlimen Pulai pada PRU15 menghadiri majlis berkenaan.

Jangan ulangi 'Langkah Sheraton' - Salahuddin
SALAHUDDIN Ayub bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Jamuan Kenduri Rakyat Petugas Parlimen Pulai di Kempas, Johor Bahru.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai turut mencadangkan supaya Kerajaan Negeri Sabah mengguna pakai kaedah kerjasama Kerajaan Perpaduan yang dilaksana di peringkat Pusat bagi mentadbir negeri itu.

“Berhubung isu yang sedang berlaku di Sabah, nasihat kami adalah kalau tidak mampu untuk mengekalkan kerajaan negeri sedia ada, wujudkan satu Kerajaan Perpaduan. Jangan pula sebaliknya, jatuh menjatuh antara satu sama lain. Kita (PH) mahu perintah Malaysia selama satu penggal cukup lima tahun dan akan cuba buat yang terbaik untuk rakyat, Insya-Allah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi PH Johor memberitahu, pihaknya masih merupakan pembangkang di peringkat negeri ini walaupun terdapat jalinan kerjasama menerusi Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.

“Kita masih belum buat apa-apa keputusan di Johor, tetapi kami faham bahawa semangat perpaduan kerajaan pusat itu sangat mendasari, setakat ini saya yakin dan percaya hubungan wakil rakyat PH Johor dengan kerajaan negeri ada kerjasama baik.

“Tidak timbul isu kerana ketika berdepan masalah rakyat di Flat Melana dan juga banjir kilat di Kampung Pasir, bila wakil rakyat PH panggil ada pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) hadir dan berdialog.

“Agensi kerajaan juga memberikan kerjasama sangat baik, cuma secara rasminya masih belum dapat tentukan bentuk kerjasama di peringkat negeri. Selepas tamat sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) baru-baru ini, kita (wakil rakyat PH) masih duduk di blok pembangkang,” katanya yang merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*