Dilihat cuba jatuhkan kerajaan, ini nasihat Nik Nazmi kepada Hamzah

Semalam, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin menyatakan PN terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana gabungan parti politik pada masa depan, termasuk Barisan Nasional (BN).

Kata Ketua Pembangkang yang juga Setiausaha Agung BERSATU itu, kerjasama berkenaan perlu menjadi satu dasar yang dipersetujui semua pemimpin parti, BERSATU, PAS dan UMNO dan boleh direalisasikan jika semua percaya dengan satu matlamat yang sama.

Kenyataan Hamzah pada satu siri perbincangan di ibu negara semalam itu dilihat oleh sesetengah pihak sebagai tindakan untuk terus cuba menjatuhkan kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH) yang disokong BN melalui UMNO, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GPS) dan beberapa parti lain.

Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam ciapan di Twitternya hari ini, menggesa bekas Menteri Dalam Negeri itu supaya menumpukan peranan menjadi pembangkang yang berkesan kepada kerajaan.

Katanya, Hamzah yang memimpin blok pembangkang, tidak sewajarnya terus bertindak untuk menjatuhkan kerajaan ketika ini, sebaliknya fokus kepada usaha mencari penyelesaian terhadap isu menghimpit rakyat ketika ini, termasuk inflasi yang mula menekan kos sara hidup.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menganggap Hamzah masih mahu meneruskan tindakan menjatuhkan kerajaan atau dirujuknya sebagai usaha ‘menebuk atap’.

“Hamzah masih tidak dapat terima hakikat penubuhan Kerajaan Perpaduan. Sebaliknya beliau mahu teruskan usaha ‘menebuk atap’ untuk menjatuhkan kerajaan sebagaimana Langkah Sheraton dahulu.

“Tumpukan jadi pembangkang yang berkesan. Rakyat bergelut untuk keluar dari pandemik, inflasi dan banyak masalah lain ketika mana Perikatan Nasional (PN) masih mahu merebut kuasa melalui pintu belakang,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu, PN yang diterajui BERSATU dan PAS gagal membentuk kerajaan biarpun pada mulanya mereka mendakwa memperoleh sokongan mencukupi untuk menubuhkan kerajaan.

Kegagalan itu antara lain disebabkan keputusan BN khususnya UMNO yang memutuskan mahu bersama PH dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*