Dua dalang ‘jual’ pingat kebesaran Pahang dicekup

Ganbar sekadar hiasan

Polis Pahang berjaya menahan dua kakitangan pejabat setiausaha kerajaan negeri (SUK) kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti ‘menjual’ pingat dan darjah kebesaran.

Penahanan suspek berusia 30 dan 36 tahun itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada salah seorang kakitangan pejabat SUK pada Okt tahun lalu.

Ketua Polis Pahang, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata pengadu membuat laporan selepas mendapati senarai penerima pingat dan darjah kebesaran Pahang mempunyai nama yang mencurigakan.

Dua dalang 'jual' pingat kebesaran Pahang dicekup
Ketua Polis Pahang, Ramli Mohamed Yoosuf,

Dia juga mendapati ada antara nama tersebut tidak ada dalam senarai induk bahagian istiadat dan pengurusan majlis rasmi pejabat SUK Pahang.

Katanya, kedua-dua suspek terbabit ditahan di sekitar Kuantan pagi tadi.

“Suspek pertama berusia 36 bekerja sebagai pembantu operasi di pejabat SUK Pahang dan dipercayai memasukkan 26 nama individu dalam senarai penerima darjah kebesaran dan pingat Pahang.

“Suspek kedua pula yang berusia 30 tahun dan bekerja secara kontrak sebagai pembantu tadbir di pejabat sama, dan dia dipercayai memasukkan tiga nama dalam sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang,” katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.

Ramli memaklumkan suspek terbabit menyalahgunakan kod pengenalan diri bagi mengakses sistem berkenaan dan mengubah suai senarai asal penerima pingat dan darjah kebesaran negeri berkenaan.

Katanya, sistem itu adalah bagi senarai penerima darjah kebesaran bergelar Datuk dan Datuk Seri.

“Semua nama 29 individu berusia antara 40 hingga 60 tahun yang dimasukkan dalam senarai itu juga sudah ditahan bagi membantu siasatan.

“Siasatan terhadap kedua-dua suspek dilakukan mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563) dan mereka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan esok,” katanya lagi.

Menurut Ramli, setiap individu yang berurusan dengan kedua-dua suspek dikenakan bayaran antara RM80,000 hingga RM150,000 bagi tujuan disenaraikan dalam sistem berkenaan untuk menerima pingat dan darjah kebesaran.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*