84 peratus orang muda tak sedar hidap diabetes

UMUM mengetahui bahawa diabetes merupakan salah satu masalah yang dihadapi oleh masyarakat di negara ini ketimbang penyakit lain.

Berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2024, satu daripada enam rakyat di negara ini menghidap diabetes.

Pakar Endokrinologi di Pusat Perubatan Sunway, Dr. Teoh Wei Leng berkata, dalam penyakit diabetes, ada dua kumpulan yang menemui doktor. Pertama ialah pradiabetes (prediabetes) iaitu tidak menunjukkan sebarang simptom, namun menunjukkan ke arah mendapat penyakit itu.

Menurutnya, golongan ini datang kerana menjalani pemeriksaan darah dan gula secara tahunan.

“Mereka ini kita panggil sebagai pradiabetes (prediabetes) kerana tidak mempunyai sebarang gejala diabetes, tetapi mereka ini perlu diberi perhatian,” katanya.

Mungkin 30 atau 40 tahun lalu, semua orang menganggap diabetes tidak boleh diubati dan dipulihkan.

Namun kini, dengan amalan gaya hidup sihat, kita boleh membalikkan diabetes. Bagi membalikkan diabetes, ia memerlukan satu kerja keras dan bimbingan yang betul.

Dr. Wei Leng berkata, apabila pesakit datang berjumpanya dalam keadaan pradiabetes, ia adalah lebih baik.

Katanya, ini kerana, dia dapat membimbing mereka supaya fokus dan mengambil langkah-langkah untuk membalikkan pradiabetes menjadi normal.

“Sesetengah daripada kita mempunyai sejarah keluarga yang menghidap diabetes dan itu kita tidak boleh mengubahnya, namun boleh melewatkan penyakit itu.

“Kita tidak boleh mengubahnya, tetapi berbanding kita dapat diabetes pada usia 35 tahun, adalah lebih baik jika mendapatnya pada usia 55 tahun,” jelasnya.

Sementara itu, kumpulan kedua yang datang berjumpa dengannya adalah pesakit yang terus terang sudah menghidap diabetes. Mereka ini mempunyai bacaan gula yang tinggi dan mengalami pelbagai gejala.

“Mereka ini akan mudah rasa dahaga, kehilangan berat badan dan lain-lain lagi. Untuk pesakit diabetes ini, ia masih boleh dibalikkan terutama kepada mereka yang masih muda,” terangnya.

Bagaimanapun, kerja keras perlu dilakukan dengan menyesuaikan gaya hidup dan pemakanan seharian.

Oleh itu, pengesanan awal penting bagi membolehkan mereka yang berhadapan dengan diabetes dapat mengambil langkah awal untuk mengawal masalah tersebut.

Dalam mendepani masalah itu, Sunway Healthcare Group (SHG) telah melancarkan kempen KNOW Diabetes.

Pengarah Urusan Hospital dan Penjagaan Kesihatan Operasi SHG, Dr. Khoo Chow Huat berkata, kempen tersebut diadakan sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia 2024.

Ujarnya, ia bertujuan meningkatkan kesedaran dan mendidik rakyat Malaysia mengenai impak diabetes.

“Kempen ini menyerlahkan komitmen kami terhadap kesedaran diabetes dengan tema ‘pencegahan adalah kuasa’ yang memfokuskan pada kesihatan, pemakanan dan gaya hidup.

“Inisistif ini amat penting dan tepat pada masanya kerana berdasarkan NHMS, 15.6 peratus orang dewasa iaitu satu daripada enam menghidap diabetes.

“84 peratus golongan muda berusia 18 hingga 29 tahun pula tidak menyedari mereka menghidap diabetes,” katanya.

Sementara itu, kempen itu memberi fokus kepada pendidikan makanan dan pelarasan diet yang mudah dengan penekanan kepada pengambilan makanan bernutrisi bagi mengurangkan risiko diabetes.

Berdasarkan kajian yang dijalankan sempena kempen tersebut, lebih 80 peratus responden tahu mengenai bahaya diabetes.

Namun, kebimbangan sosial seperti pengambilan makanan berbeza dalam kumpulan sosial dan psikososial seperti kekangan masa merupakan faktor utama yang menghalang tabiat pemakanan sihat kebanyakan responden.

Selain itu, responden mengandaikan bahawa makanan sihat adalah berkos tinggi dan sukar diperoleh.

Lebih 47 peratus beranggapan bahawa ia adalah makanan bagi golongan T20 (kaya), manakala 59 peratus menyatakan bahawa makanan sihat sukar diperoleh di restoran atau warung tempatan. Sementara itu, 52 peratus responden percaya makanan yang disediakan di rumah adalah sihat.

Faktor ekonomi dan andaian bahawa makanan sihat adalah mahal merupakan antara faktor yang direkodkan sebagai penghalang bagi 54 peratus responden untuk memilih pemakanan lebih sihat.

Faktor lain adalah kekangan masa, di mana 50 peratus responden memaklumkan, keadaan peribadi dan kerja menimbulkan cabaran untuk memasak.

Hampir 40 peratus responden bersetuju, dalam usaha mengurangkan jumlah pengambilan gula, pengaruh pasangan sangat penting.

Lebih memberangsangkan, 56 peratus mengatakan bahawa mereka akan mula bersenam dengan lebih serius jika boleh melakukannya bersama rakan pejabat selepas waktu kerja.

Sementara itu, Presiden SHG, Datuk Lau Beng Long berkata, diabetes dan komplikasi penyakit ini telah menyerang ribuan rakyat Malaysia dan memberi kesan buruk kepada kesihatan, kualiti kehidupan dan perhubungan mereka.

Ujarnya, masalah itu perlu ditangani kerana menjadi beban kepada kesihatan awam dan pertumbuhan sosioekonomi.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*