80 peratus daripada 300 pengunjung disko Genting Hotel Golok rakyat Kelantan

SUNGAI GOLOK, THAILAND – Kira-kira 80 peratus daripada 300 pengunjung yang berhibur di kelab malam Genting Discotheque kendalian Genting Hotel di sini pada malam Jumaat dan Sabtu setiap minggu terdiri daripada rakyat Malaysia khususnya Kelantan.

Pengarah Urusan Genting Hotel, Sompoch Hongkittiyanonta berkata, kebanyakan golongan muda dari Kelantan akan menginap dan berhibur di kelab malam hotel.

Menurutnya, Genting Discotheque merupakan kelab malam paling selamat di Sungai Golok kerana pihak pengurusan sentiasa membuat pemeriksaan kepada semua pengunjung yang datang untuk berhibur.

“Pengunjung yang datang untuk berhibur mesti berusia 20 tahun ke atas. Segala jenis dadah juga dilarang untuk dibawa masuk semasa mereka berhibur di sini. Kelab malam ini juga sering dipantau oleh polis tempatan.

“Genting Discotheque mampu memuatkan seramai 300 pelanggan dalam satu-satu masa terutamanya pada malam minggu. Hampir 80 peratus pengunjung berhibur di sini datang dari Malaysia khususnya Kelantan,” katanya ketika ditemui di Genting Hotel di sini semalam.

Sompoch memberitahu, pihaknya menyediakan lokar atau almari yang boleh dikunci di pintu masuk kelab malam itu untuk menyimpan senjata api milik pengunjung.

Menurutnya, ada juga polis dan pegawai kerajaan yang mempunyai lesen untuk memiliki pistol atau senjata api datang untuk berhibur di kelab malam hotel itu.

Baca juga :

“Oleh itu, kita menyediakan lokar untuk penyimpanan kerana senjata api tidak dibenarkan untuk dibawa masuk ke Genting Discotheque.

“Kelab malam ini dibuka bermula pukul 10 malam hingga 2 pagi. Tiket untuk masuk ke sini adalah 350 Bath atau RM35 beserta segelas air percuma.

“Perlu diingatkan, pelanggan yang berusia 20 tahun ke atas sahaja dibenarkan masuk. Jadi, tidak benar ada dakwaan yang mengatakan pelajar sekolah datang untuk berhibur di sini,” katanya.

Difahamkan, kelab malam di Genting Hotel merupakan antara tiga buah pub yang popular di Sungai Golok selain Marina Hotel dan Riviera.

Selain itu, terdapat puluhan pub-pub kecil yang sering menjadi tumpuan pelancong untuk berhibur di sekitar pekan Sungai Golok.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*