7 kontrak Datasonic diberikan tanpa tender terbuka terbongkar

Tujuh kontrak Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) diberikan tanpa tender terbuka, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Dia mendedahkan maklumat itu dalam jawapan bertulis parlimen ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (Pakatan Harapan-Bagan).

Saifuddin mendedahkan tujuh projek itu bernilai sekitar RM1 billion dan diberikan antara September 2015 hingga Ogos 2022.

Menteri-menteri dalam negeri dalam tempoh itu ialah Ahmad Zahid Hamidi (2013-2018), Muhyiddin Yassin (2018-2020), dan Hamzah Zainudin (2020-2022).

Lim meminta Kementerian Dalam Negeri mendedahkan status kontrak yang diberikan kepada Datasonic, jika kontrak itu akan ditender semula dan sama ada ahli keluarga kepimpinan sebelum ini terbabit dengan perjanjian itu atau tidak.

“Kesemua kontrak masih berkuat kuasa dan mengikut jadual pelaksanaan yang telah ditetapkan sebagai mana dinyatakan dalam dokumen perjanjian,” kata Saifuddin.

Saifuddin tidak menjawab soalan Lim berhubung kemungkinan ada penglibatan ahli keluarga kepimpinan sebelum ini dalam perkara tersebut.

DTSB ialah anak syarikat Datasonic Group Bhd, sebuah syarikat tersenarai di bursa saham.

Jawapan Saifuddin juga tidak menyentuh berkenaan langkah kerajaan sekarang untuk memberikan DTSB lanjutan kontrak selama tiga bulan untuk pembekalan MyKad, MyTentera, kad MyPoca dan bahan habis guna kepada Jabatan Pendaftaran Negara.

Ini bermakna kontrak ini hanya akan tamat pada 14 Mei.

Enam daripada tujuh kontrak yang diberikan secara terus ini akan tamat tahun ini.

Soalan Lim muncul dalam senarai jawapan bertulis pada 29 Mac. Dia berkongsi jawapan itu Facebook semalam.

Pada 31 Mac, Datasonic dalam kenyataannya kepada beberapa media menjelaskan kontrak pemberian langsung itu pada mulanya kebanyakannya menang melalui tender terbuka.

Menurut The Edge, syarikat itu berkata selepas mendapat kontrak melalui tender terbuka, ia mencadangkan kontrak baru kepada kerajaan dengan potongan harga serta perkhidmatan dan produk yang lebih baik.

Syarikat itu berkata bagi projek yang melibatkan keselamatan – seperti pembekalan MyKad – mendapat manfaat daripada kontrak pemberian langsung berbanding proses tender yang panjang.

“Oleh itu, kami terlibat melalui proses rundingan terus. Sudah menjadi amalan biasa bahawa rundingan harga kami sentiasa membawa kepada pengurangan sebanyak harga 5 peratus hingga 10 peratus,” kata DTSB.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*