6 dicekup beri rasuah bagi monopoli projek kerajaan ditahan

Enam individu termasuk seorang jurutera awam dan tiga pemilik syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki memberi rasuah bagi memonopoli projek pembekalan dua jabatan kerajaan di Sarawak.

Menurut sumber, semua suspek lelaki berusia antara 40 hingga 70-an itu ditahan pada kira-kira jam 7 pagi hingga 12 tengah hari semalam, di beberapa lokasi sekitar Sarawak melalui satu operasi khas.

“Siasatan awal mendapati perbuatan tersebut dilakukan pada tahun 2006 sehingga kini dan kontraktor yang terlibat membenarkan lesennya digunakan turut menerima komisyen sehingga 10% daripada nilai projek berkenaan.

“Pada masa yang sama, jurutera awam tersebut turut menerima upah kerana membantu mendapatkan projek-projek jabatan berkenaan,” katanya.

Sebuah kenderaan Proton X70, wang tunai berjumlah kira-kira RM450,000, dan barang kemas disita dalam operasi tersebut.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan ini.

Semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Miri, Mahkamah Sibu dan Mahkamah Majistret Kuching esok untuk tujuan pemohonan reman.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM.

Baca juga :

Sindiket tawaran pinjaman: Ziana Zain kunci mulut bakal disiasat SPRM

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*