
SECARA umumnya, waktu berpuasa pada bulan Ramadan di Malaysia adalah sekitar 13 jam sehari. Maka, ia menuntut kesabaran dan kekuatan fizikal serta mental dalam menyempurnakan ibadah wajib umat Islam itu.
Jika 13 jam berpuasa itu dirasakan sudah cukup lama dan mencabar, ketahuilah bahawa ada umat Islam di beberapa negara lain perlu berpuasa 18 jam sehari. Bayangkan cuma enam jam sahaja boleh makan atau tidak berpuasa! Sehubungan itu, minggu ini CitaRasa kongsikan lima lokasi dengan waktu berpuasa paling lama di dunia pada bulan Ramadan mengikut kelaziman.
1- Nuuk, Greenland – 18 jam 12 minit
NUUK merupakan ibu negara dan bandar terbesar di Greenland yang mempunyai jumlah paling ramai penduduk di negara tersebut iaitu sekitar 20,113 orang.

Selain itu, Nuuk menjadi sebuah wilayah autonomi di bawah pemerintahan kerajaan Denmark. Fakta menarik tentang Nuuk adalah waktu berpuasanya yang paling panjang di dunia iaitu sekitar 18 jam 12 minit pada bulan Ramadan.
Walaupun majoriti penduduknya beragama Kristian, namun terdapat juga sebilangan kecil individu beragama Islam yang merupakan perantau di situ.
2- Reykjavik, Iceland – 18 jam
IBU negara Iceland ini mempunyai jumlah penduduk sekitar 140,000 orang dan memiliki waktu berpuasa sangat lama iaitu 18 jam setiap hari.

Reykjavik merupakan pusat kebudayaan, pentadbiran dan ekonomi bagi kerajaan Iceland. Ia juga menjadi destinasi pelancongan yang popular dalam kalangan pelancong asing.
Ini kerana, ibu kota itu terkenal sebagai bandar paling bersih, hijau dan selamat di dunia.
3- Helsinki, Finland – 17 jam 30 minit
HELSINKI yang terletak di Teluk Finland adalah ibu kota negara tersebut.
Bandar terbesar di Finland itu mempunyai jumlah penduduk yang ramai iaitu 1.3 juta orang. Ia juga menjadi pusat wilayah Uusimaa di selatan negara itu.

Setiap kali datangnya bulan Ramadan, umat Islam di sini perlu melaksanakan ibadah puasa yang panjang iaitu sekitar 17 jam 30 minit setiap hari.
4- Glasgow, Scotland – 17 jam
GLASGOW merupakan bandar terkemuka Scotland untuk industri kewangan, membeli-belah, budaya dan fesyen. Ia turut dikenali sebagai bandar kedua empayar untuk kebanyakan era Victoria dan Edwardian.

Selain itu, Glasgow popular sebagai bandar paling ramai penduduk di Scotland dengan kedudukannya terletak di tebing Sungai Clyde di barat tengah negara itu.
Pada bulan Ramadan, umat Islam di sini perlu menempuh waktu berpuasa yang lama iaitu 17 jam setiap hari.
5- London, United Kingdom – 16 jam
LONDON yang menjadi ibu negara dan bandar terbesar di United Kingdom turut mencatatkan tempoh waktu puasa yang panjang iaitu sehingga 16 jam setiap hari.

Oleh itu, sesiapa di negara itu yang berjaya menempuh waktu berpuasa selama 16 jam, ia merupakan kejayaan terbesar dalam menyempurnakan ibadah rukun Islam ketiga tersebut.
Baca juga :
Leave a Reply