Filem biasanya menjadi karya yang memaparkan persengketaan watak baik atau protagonis dengan watak jahat atau antagonis.
Jalan cerita yang dibentuk digarap agar para penonton berpihak kepada pihak baik dengan harapan pada pengakhiran kisah – watak jahat dapat ditewaskan dan watak baik mendapat ‘happy ending.’
Namun wujud beberapa filem yang secara halus mahu penonton menyokong usaha watak jahat dan membuatkan kita mahu watak jahat mengecapi bahagia. Ini adalah lima filem yang membuatkan kita rasa sebegitu tanpa kita menyedarinya.
1. The Founder
Filem ‘The Founder’ memaparkan lakonan mantap Michael Keaton (Batman) sebagai Ray Kroc, pengasas rangkaian makanan segera McDonald’s dan semua cabaran yang beliau hadapi dalam membangunkan empayar perniagaannya.
Bertindak sebagai protagonis filem, Keaton berjaya membuatkan penonton mahu semua langkah usaha beliau berhasil. Walau bagaimanapun jelas tindak tanduk Kroc dalam mengejar kejayaan, lebih mirip dengan sifat usahawan yang tidak mempedulikan hak orang lain.
Dia jelas langsung tidak ada sifat kemanusiaan dalam diri jika wang dijadikan faktor, sehingga sanggup melakukan banyak perbuatan terkutuk yang menunjukkan Kroc sama ada dalam filem atau dunia nyata, memang seorang yang kurang nilai moralnya.
Digarap sebagai sebuah biografi, Keaton berjaya memainkan watak Kroc sebagai individu yang gigih dan bijak mengambil peluang.
Namun filem ini sebenarnya adalah kritikan mencerca perangai Ray Kroc sebenar, oleh penulis skrip dan pengarah filemnya yang dapat dilakukan dengan sangat tersirat.
2. Gone Girl
Stereotaip filem jarang meletakkan watak wanita sebagai dalang utama perkara buruk, lebih kerap menjadikan lelaki perancang kepada perkara malang yang jatuh menimpa wanita.
Oleh kerana kebiasaan itulah filem ‘Gone Girl’ berjaya memainkan minda penonton yang terleka, sehingga kita meletakkan beban kesalahan ke atas watak Nick yang dimainkan Ben Affleck ekoran kehilangan isterinya, Amy lakonan Rosamund Pike.
Sepanjang filem penyiasatan ini, Nick digambarkan individu bermasalah serta layak digelar punca sebenar masalah rumahtangga mereka sehingga membawa kepada kehilangan Amy yang dikatakan diculik.
Akhirnya, dalam jalan cerita yang penuh dengan teka-teki, barulah kita sebagai penonton mampu mengenali siapa sebenarnya mangsa dan siapa pula pemangsanya.
3. Young and Dangerous
Siri filem Young and Dangerous merupakan siri yang cukup popular bagi peminat filem Hong Kong satu ketika dulu, melalui filem pertama terbitan tahun 1996.
Penerbitan filem ini mencetuskan fenomena sehingga menjadi sebuah francais filem gergasi dengan 6 filem utama, disokong 10 filem tambahan yang dibikin berdasarkan kepada watak-watak sampingan filem-filem utamanya.
Judul filem ini memaparkan persengketaan di antara dua kongsi gelap di Hong Kong iaitu Hung Hing dan Tung Sing. Ekoran daripada tema itulah, filem ini dikritik kerana dikatakan memuja aktiviti jenayah ahli kongsi gelap ketika berebut pengaruh dan kawasan.
Kita sebagai penonton dibawa mengikuti perjalanan hidup dua watak utama ahli Hung Hing iaitu Chan Ho Nam (Ekin Cheng) dan Chicken (Jordan Chan) yang jika kita fikirkan, sebenarnya sepanjang kesemua filem melakukan jenayah bunuh dan serangan bersenjata demi mempertahankan kedudukan dan kuasa mereka.
Tetapi disebabkan mereka watak utama, semua yang mereka lakukan walaupun salah tidak nampak salah. Ini kerana filem ini benar-benar berjaya mencipta reputasi masyhur ahli kongsi gelap – sehinggakan ramai anak muda Hong Kong selepas tayangan filem ini, berangan mahu menjadi ahli kongsi gelap.
4. Saint Maud
Mungkin tidak ramai pernah menonton filem seram ini kerana promosinya memang kurang.
Jika anda sudah menonton siri TV kisah berdasarkan novel Lord of the Rings iaitu ‘RIngs of Power’, anda pasti sudah mengenali pelakon utama filem Saint Maud iaitu pelakon wanita dari Wales bernama Morfydd Clark, yang memainkan watak Galadriel dalam siri TV itu.
‘Saint Maud’ memaparkan kisah seorang jururawat bernama Katie yang memilih untuk menukarkan nama kepada Maud, selepas satu insiden kematian pesakit yang gagal diselamatkan Katie.
Menyedari dirinya perlu lebih dekat dengan Tuhan selepas kegagalannya, Maud mula menjalani hidup sebagai seorang Katolik yang taat dan berazam meninggalkan semua tabiat buruk yang pernah dilakukannya sebelum itu.
Bagaimanapun, selepas dia ditugaskan menjaga seorang bekas penari veteran dan pesakit kanser tahap akhir bernama Amanda yang hidup sebagai seorang lesbian, Maud meletakkan tanggungjawab untuk membawa Amanda kembali ke pangkal jalan.
Pertembungan ideologi di antara Maud yang sangat keras hatinya mahu Amanda berubah dan Amanda yang sudah tidak peduli apa akan berlaku kepada dirinya, memulakan konflik yang berakhir dengan lebih banyak tanda tanya tentang sifat sebenar Maud sejak mula.
Penamat filem ini juga akan membuatkan anda terfikir apa kebenaran yang cuba disembunyikan di sebalik semua insiden yang berlaku – yang hanya akan terjawab dalam tontonan kedua anda.
5. Nightcrawler
‘Nightcrawler’ merupakan sebuah filem yang semakin relevan dengan masyarakat dunia ketika ini. Keinginan kita untuk menjadi orang yang ada di lokasi sesuatu kejadian agar berjaya merakamkan kejadian yang berlaku – menjadi tema utama filem ini.
Filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki obsesif bernama Lou lakonan Jake Gyllenhaal, cuba mencari pendapatan dengan mencuri secara kecil-kecilan.
Selepas menyaksikan satu insiden kemalangan, Lou bertemu seorang individu yang menceritakan kepada beliau tentang peluang kerjaya sampingan sebagai seorang jurnalis foto sambilan, yang menjual rakaman atau foto kepada pihak media sebagai sumber pendapatan.
Sejak pertemuan itu, Lou berusaha memulakan karier baru, obses menjadikan kerjaya itu sebagai punca rezeki…sehinggakan dia sendiri mencatur secara sengaja insiden-insiden buruk, bagi memastikan bekalan rakamannya ada.
Kurang disebut semasa tayangannya pada tahun 2014, kini ‘Nightcrawler’ diangkat sebagai antara filem yang berjaya membawa diskusi besar dalam pengaruh teknologi kepada minda manusia selain menjadi kritikan keras ke atas kegilaan manusia mencari benda tular.
Uniknya sepanjang filem itu – watak Lou yang dimainkan Gyllenhaal dengan sangat berkesan, berjaya membuatkan penonton menyokong kaedah-kaedah gilanya, walaupun realitinya Lou adalah seorang lunatik yang sanggup membenarkan kematian berlaku, hanya untuk mendapatkan rakaman video sensasi.
- Turut baca : Tak masuk akal satu ‘cup’ ais kosong RM1.90
Leave a Reply